Terengganu catat kematian bayi tertinggi di Malaysia

0

Kekerapan kadar mengandung antara faktor dikenal pasti

KUALA TERENGGANU: Terenganu mencatatkan jumlah kematian bayi ber-umur satu tahun ke bawah tertinggi di negara ini dengan kadar 9.2 bayi bagi setiap 1,000 kadar kelahiran.

Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Datuk Aminah Rahman berkata, jumlah kematian itu lebih tinggi dengan paras nasional iaitu 6.3 bayi bagi setiap 1,000 kelahiran.

“Negeri kedua yang men-catatkan kematian bayi ter-tinggi ialah Melaka 8.4 bayi, diikuti Kelantan dan Perlis iaitu 8.1 bayi,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi taklimat bersama Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan barisan Exco di sini semalam.

Beliau berkata, kerajaan negeri mengarahkan LPPKN menjalankan kajian bagi me-ngenal pasti faktor keadaan itu serta peratus mengikut daerah-daerah yang terlibat.

Katanya, antara faktor awal yang dikenal pasti termasuk kekerapan kadar ibu mengandung di negeri ini kerana Terengganu mempunyai jumlah kadar kesuburan jauh lebih tinggi daripada paras nasional iaitu 3.3 anak bagi setiap wanita berbanding 2.3 untuk paras nasional.

“Kadar ini merujuk kepada purata bilangan anak yang dilahirkan oleh seorang wanita dari umur 15 hingga 49 tahun,” katanya.

Selain itu memperincikan sama ada kemudahan infrastruktur kesihatan di Terengganu mencukupi atau tidak, Aminah berkata, LPPKN juga akan mengkaji sama ada kadar kematian yang tinggi itu berpunca daripada faktor agihan anggota klinikal seperti doktor dan jururawat tidak serata atau faktor kemiskinan yang menyebabkan keluarga tidak mampu memberikan makanan seimbang kepada bayi mereka.

Beliau berkata, pada masa sama LPPKN dan Kementerian Kesihatan akan meng-adakan penerangan untuk memberi kesedaran ibu dan bapa tentang pentingnya anak mendapat suntikan selain menggalakkan ibu membuat penjarakan anak.

“Di Terengganu amalan penjarakan kehamilan agak kurang dan hanya 32.4 peratus daripada wanita yang berkahwin di negeri ini menggunakan kaedah moden untuk menjarakkan kehamilan berbanding lebih 53 peratus kadar nasional,” katanya.

Kadar kematian ibu bersalin di Terengganu merupakan yang terendah di negara ini, katanya tanpa memberikan angka tepat. — Bernama