Hayati kemerdekaan, tolak unsur negatif: Yahya

1

PUTATAN: Rakyat di negeri ini diminta untuk menghayati erti kemerdekaan dan menolak unsur yang menimbulkan kekacauan sehingga mampu menggugat kestabilan keamanan negara.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Yahya Hussin berkata semua rakyat harus memanjatkan kesyukuran atas perpaduan yang dimiliki dan seharusnya mengelak daripada terlibat dengan perkara-perkara negatif seperti demonstrasi tidak berfaedah serta mencetuskan huru-hara.

Bagi memastikan perkara itu semua haruslah memahami bagaimanakah cara memperoleh kemerdekaan di zaman dahulu bagi menimbulkan iltizam bermakna bagi mempertingkatkan kemajuan Malaysia di mata dunia.

“Kita sering melihat gelagat masyarakat luar membakar bendera mereka sendiri gara-gara protes atau demonstrasi yang sebenarnya mampu diselesaikan.

“Perkara-perkara ini haruslah dielakkan semua kerana perlu ditanamkan semangat cintakan negara dan kegiatan negatif seumpama itu tidak melambangkan semangat gah sebagai rakyat yang cintakan keamanan sejagat,” katanya.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kembara Merdeka Jalur Gemilang Ramadan Peringkat Daerah Putatan di masjid daerah berkenaan Khamis lepas.

Hadir sama, Setiausaha Politik Yahya, Mahlan Zinin, Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Almain Ajirul, Pengarah Biro Tatanegara Negeri Sabah, Datuk Ibrahim Saat, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah, Ramlah Amir, Pegawai Daerah Putatan, Ag Abd Ghani Pg Yusoff dan Pengurus Besar Telekom Malaysia (TM) Sabah, Sukkuriya Masri.

Mengulas mengenai program itu, Yahya berkata walaupun sambutan Bulan Kemerdekaan ke-54 tahun jatuh dalam bulan Ramadan, tetapi ia tidak menghalang para peserta Kembara Merdeka untuk menyemarakkan Bulan Kemerdekaan dengan pelbagai kegiatan.

“Lantaran itu, kita menyeru semua masyarakat khususnya pemilik premis-premis perniagaan, bangunan pejabat kerajaan dan swasta, sekolah dan institusi pengajian tinggi serta individu agar mengibarkan Jalur Gemilang bagi memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan,” katanya.

Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang itu disertai oleh 35 buah kenderaan mewakili 21 buah jabatan dan agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan dengan seramai 90 peserta.

Peserta konvoi telah singgah di Putatan, sebelum meneruskan pengembaraan mereka ke Membakut, Kuala Penyu dan daerah seterusnya.

Para peserta konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang Ramadan 2011 turut berbuka puasa dan menunaikan solat terawih bersama masyarakat Putatan.

KIBAR JALUR GEMILANG... Yahya (empat kanan) mengibarkan jalur gemilang sebagai simbolik kepada perlepasan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang di Masjid Daerah Putatan pada Khamis lepas.