Kawalan sempadan Sarawak-Kalimantan tanpa isu serius

0

SELAMAT TINGGAL: Ramli diiringi para anggota TDM selepas selesai upacara penyerahan tugas di Kem Semenggo, di Kuching semalam.

KUCHING: Kawalan keselamatan di sepanjang 500 kilometer sempadan Sarawak-Kalimantan, Indonesia di bawah kendalian Infantri 3 Briged kini terjamin tanpa sebarang isu yang serius.

Bekas Panglima 3 Briged Tentera Darat Malaysia (TDM) Brigadier Jeneral Datuk Mohd Ramli Jaafar berkata, keadaan itu adalah hasil kerjasama antara tentera darat dengan agensi kerajaan yang relevan seperti polis, kastam dan imigresen dalam membanteras jenayah sempadan seperti penyeludupan dan lintas sempadan daripada terus berleluasa.

“Sepanjang tempoh 16 bulan saya berkhidmat dalam 3 Briged, semua hasil operasi mendapati tiada kes di sempadan yang benar-benar menjadi isu,” katanya yang di-temui selepas selesai upacara penyerahan tugas panglima 3 Briged di Kem Semenggo, di sini semalam.

Mengulas isu perbatasan, Ramli berkata isu tersebut sudah wujud sejak dulu lagi namun inisiatif kerajaan me-lalui agensi-agensi yang relevan dalam membanteras ge-jala tersebut membolehkan ia terkawal dengan baik.

“Sebab itu, kita membina CIQ untuk mengawal kema-sukan barang di sempadan bagi mengelakkan barang bersubsidi kerajaan seperti tong gas, minyak dan gula diseludup ke negara jiran,” katanya.

Dalam pada itu, memban-dingkan kawalan keselamatan di Sarawak pada 20 tahun le-pas iaitu era 80-an, Ramli berkata, ia ketika itu adalah amat sukar terutamanya melibat-kan ancaman bersenjata.

Bagaimanapun, katanya, pada tahun 90-an, senario keselamatan di Sarawak telah berubah yang telah memperlihatkan kemajuan dari segi pembangunan dan ekonomi.

“Senario keselamatan kini menuntut kita melihat perspektif yang lebih besar dan dimensi yang berbeza seperti isu penyeludupan yang kini salurannya lebih cepat me-nerusi teknologi maklumat dan sebagainya,” katanya.

 

 

Sementara itu Ramli menyerahkan tugas sebagai panglima 3 Briged TDM kepada

Leftenan Kolonel Mohd Fadzuri Masudoki selaku pemangku berkuat kuasa semalam, selepas menerajui pemerintah selama 16 bulan.

Fadzuri yang sebelum ini berkhidmat sebagai pegawai pemerintah Batalion Ke-11 RAMD kemudiannya akan menyerahkan tugas panglima 3 Briged tersebut kepada Kolonel Hasaqaya Abdullah pada awal September depan.

Hasaqaya yang bertugas sebagai sekretariat di Markas TDM dijangka dinaikkan pangkat kepada Brigadier Jeneral pada 5 September ini, di mana beliau secara rasminya akan mengambil alih tugas Panglima 3 Briged.

Selepas penyerahan tugas tersebut semalam, Ramli kemudiannya bertolak ke Kuala Lumpur bagi membuat persediaan di mana beliau akan melanjutkan pelajaran di Universiti Pertahanan Kebangsaan di Beijing, China untuk mendapatkan Ijazah Sarjana dalam bidang strategi dan keselamatan, iaitu dalam tempoh setahun bermula 1 September ini.

Sebelum menyandang tugas sebagai panglima 3 Briged, Ramli sebelum ini juga pernah berkhidmat di Sarawak iaitu dalam pada 80-an dan 90-an sebagai pegawai pemerintah di Sri Aman.

“Dipindahkan dari Kedutaan Malaysia di Jakarta, Indonesia sebagai penasihat pertahanan, saya amat berbesar hati kerana dapat berkhidmat untuk kali ketiga di Sarawak,” katanya.

Hadir menyaksikan upacara tersebut ialah Panglima 1 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar.