‘Gawai Tourism’ promosi adat Bidayuh di Annah Rais pada 3 Sept

0

KUCHING: Sambutan Hari Gawai Peringkat Negeri anjuran Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Sarawak dan Kementerian Pelancongan dan Warisan akan diadakan di Rumah Panjang Kampung Annah Rais, Padawan pada 3 September ini.

Pengerusi penganjur, Edward Kurik berkata, sambutan yang merupakan kali kedua diadakan itu adalah untuk memperkenalkan adat serta budaya tradisional khususnya masyarakat Bidayuh di daerah kecil Padawan.

Menurut beliau, sambutan yang lebih dikenali sebagai ‘Gawai Tourism’ itu akan memberi peluang kepada pengunjung untuk memahami serta melihat sendiri keunikan yang ada pada kebudayaan masyarakat Bidayuh.

“Kita mahu memperkenalkan budaya serta keunikan yang ada pada masyarakat Bidayuh kepada umum dan melalui sambutan ini banyak perkara yang boleh dipelajari dan dilihat oleh orang ramai tentang amalan dan cara hidup masyarakat Bidayuh.

“Selain itu, kita juga mahu mempromosikan kebudayaan tradisional Bidayuh seperti tarian, permainan dan banyak lagi,” katanya ketika ditemui di pejabat beliau, di sini semalam.

Tambah beliau lagi, turut terlibat dalam sambutan tersebut ialah Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan Jawatankuasa Kemajuan, Keselamatan Kampung (JKKK), Kampung Annah Rais.

Menurut beliau lagi, satu program ‘Pertukaran Budaya’ akan diadakan iaitu penduduk di Kampung Annah Rais menerima kunjungan daripada penduduk Kampung Semban, Padawan pada sambutan ‘Gawai Tourism’ tersebut.

“Inilah yang menariknya mengenai ‘Gawai Tourism’ ini, di mana penduduk dari Kampung Semban iaitu sebuah pekampungan asli Bidayuh datang ke rumah panjang Annah Rais dengan memperkenalkan budaya yang diamalkan di kampung itu.

“Selain itu, ini juga peluang untuk kita melihat sendiri secara dekat mengenai keistimewaan kebudayaan yang diamalkan oleh kedua-dua perkampungan Bidayuh ini,” katanya.

Tambah beliau, pertunjukan kebudayaan oleh kedua-dua buah perkampungan Bidayuh itu akan diadakan pada sebelah petang, sebelum acara kemuncak iaitu persembahan dari artis-artis tempatan diadakan pada sebelah malam.

Di samping itu, terdapat 11 buah inap desa disediakan untuk pengunjung yang ingin merasai sendiri suasana tinggal di perkampungan Bidayuh (Annah Rais) itu.

“Ini adalah antara program yang disediakan untuk pengunjung, kesemua inap desa ini terletak di Rumah Panjang Annah Rais dan kita menyediakan pelbagai pakej untuk pengunjung yang mahu menetap di enap desa ini,” katanya.

Sambutan ‘Gawai Tourism’ tersebut akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Dr James Dawos Mamit dan dijangka dihadiri oleh kesemua wakil rakyat Bidayuh iaitu Ahli Parlimen Serian Datuk Richard Riot, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengoh Dr Jerip Susil, ADUN Tarat Roland Sagah, ADUN Tasik Biru Datuk Peter Nansian ADUN Tebedu Datuk Seri Michael Manyin, ADUN Kedup Martin Ben dan ADUN Opar Ranum Mina.