Cepat pasang lampu trafik

0

TINJAU: Ting meninjau kemudahan di kaunter ketibaan Pos Kawalan Imigresen Sungai Tujuh, Miri semalam. Kelihatan sama Allan (kanan).

Pemasangan perlu untuk melancarkan lalu lintas di kaunter pemeriksaan Pos Kawalan Imigresen Sg Tujuh MIRI: Pos Kawalan Imigresen Sungai Tujuh, Miri digesa mempercepatkan pemasangan lampu trafik di kaunter pemeriksaan bagi melancarkan lalu lintas di kawasan itu, khususnya pada waktu puncak.

Setiausaha Politik Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Sebastian Ting berkata, setakat ini kaunter tersebut terpaksa menggunakan kon sebagai isyarat kepada pemilik kenderaan untuk tidak memasuki kaunter pemeriksaan.

“Ini mengelirukan pemandu kenderaan kerana tidak pasti laluan mana yang harus dimasuki. Justeru kita mahu pihak imigresen dapat mempercepatkan pemasangan lampu trafik untuk memudahkan orang awam keluar masuk sempadan,” katanya semasa mengadakan tinjauan ke Pos Kawalan Imigresen Sungai Tujuh di Kuala Baram semalam.

Hadir sama pegawai Imigresen Allan Kakak.

Setakat ini, Pos Kawalan Imigresen Sungai Tujuh menyediakan sebanyak tujuh kaunter ketibaan, manakala lima lagi kaunter perlepasan yang beroperasi mulai jam 6 pagi hingga 10 malam.

Mengulas perkara ini, Allan berkata, kaunter berkenaan masih dalam kerja naik taraf sejak awal bulan ini dan dijangka siap September depan.

“Setakat ini kita masih melakukan kerja-kerja memasang kaunter, meratakan laluan jalan. Apabila siap nanti barulah kita memasang lampu trafik berkenaan,” katanya sambil menambah apabila siap nanti pos kawalan imigresen berkenaan masing-masing akan mempunyai 14 kaunter ketibaan dan perlepasan.

Dalam perkembangan lain, Allan memberitahu mereka sejak 1 Julai lalu sudah melaksanakan sistem pemeriksaan biometrik untuk kenderaan bas.

“Ringkasnya, semua peralatan termasuk lampu trafik sudah ada, Cuma menunggu kerja-kerja menaik taraf ini siap barulah semuanya dipasang,” katanya.