Wednesday, September 18

Citra Seri Sarawak damba kejuaraan

0

BURU KEJUARAAN: Pasukan Citra Seri Sarawak ketika menjalani latihan di Sungai Krian, Saratok.

Raja Sungai Sarawak satu-satunya gelaran yang masih belum jadi koleksi pasukan dari Saratok

SARATOK: Citra Seri Sarawak berazam mahu menamatkan kemarau kemenangan serta mencipta kegemilangan untuk daerah ini pada Kejohanan Regata Sarawak 2011 yang akan berlangsung di Tebingan Kuching pada 16-18 September nanti.

Pasukan itu akan menfokuskan pencabar utama yang juga juara bertahan iaitu pasukan Landas yang telah menambah koleksi kejuaraan berturut-turut.

Walaupun begitu, pasukan itu menyedari cabaran yang cukup sengit bakal dilalui oleh mereka pada kejohanan cukup berprestij ini kerana meyakini rata-rata pasukan yang bertanding nanti hebat-hebat belaka.

Namun, berbekalkan semangat jitu dan semangat juang tinggi para pendayung, pasukan Citra Seri Sarawak yang ditaja sepenuhnya oleh Citra Alti Sdn Bhd ini tetap bersemangat untuk memahatkan nama pada perlumbaan itu nanti.

Pengurus Kelab Citra Seri Sarawak, Wan Ismail Abg Zamhari berkata latihan untuk pasukan ini telah pun bermula sejak awal bulan Ogos lepas dan persiapan rapi turut dilakukan sepenuhnya untuk menghadapi kejohanan yang bakal tiba tidak lama lagi.

“Kita telah pun bersiap sedia untuk menyahut cabaran pada Regata Sarawak 2011 nanti. Persiapan rapi telah pun dilakukan dan setakat ini, kita tidak berdepan sebarang masalah,” katanya.

Ujarnya lagi, di sebalik bulan Ramadan ketika ini, ia tetap tidak melunturkan semangat pada pendayung untuk turun berlatih di Sungai Krian, di sini.

Wan Ismail berkata seramai 90 orang pendayung akan turut serta dalam kejohanan yang mempertaruhkan pelbagai acara di Kuching nanti.

Antara acara yang akan disertai pasukannya nanti termasuklah acara lumba 30 pekayuh, 20 pekayuh, 15 pekayuh, 10 pekayuh dan tujuh pekayuh.

Bagi acara 20 pekayuh iaitu kategori agensi kerajaan pula, RTM (Radio Televisyen Malaysia) dan ATM (Angkatan Tentera Malaysia) akan membuat tajaan bagi acara itu.

Menurutnya, kepelbagaian bangsa dan agama dalam pasukan tersebut menjadikan ia istimewa kerana semua pendayung mampu bekerjasama.

“Apa yang kita nampak, walaupun berlainan agama, mereka tetap menunjukkan sikap berkerjasama di antara satu sama lain. Kita cukup bangga mempunyai pasukan sebegini, inilah yang mencerminkan semangat 1Malaysia.

“Boleh dikatakan hampir majoriti pasukan terdiri daripada anggota-anggita lama yang sentiasa bersama setiap kali kejohanan berlangsung di samping beberapa muka baru,” katanya.

Untuk membentuk pasukan yang mantap, pemilihan yang ketat sememangnya amat diperlukan dengan menekankan kebolehan, pengalaman, asas kayuhan, kekuatan stamina, kerja berpasukan, minat dan yang paling penting adalah disiplin di kalangan pendayung, katanya.

Wan Ismail turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada penasihat kelab, Datuk Peter Nyarok Entrie , Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Abdul Wahab Aziz dan Mohamad Duri di atas sokongan padu yang diberikan oleh mereka selama ini.

“Saya rasa cukup bertuah kerana mempunyai penasihat-penasihat yang tidak jemu-jemu menghulurkan sokongan dan galakan yang tidak berbelah bahagi kepada pasukan kami sejak pasukan ini ditubuhkan,” katanya dengan bangga.

“Apa yang pasti, pasukan kami sudah pun bersedia malah sedia menyahut cabaran pada kejohanan itu nanti dan seterusnya bersedia bersaing untuk merangkul gelaran ‘Raja Sungai Sarawak 2011’,” ujarnya dengan penuh bersemangat.

Sejak penubuhan pasukan ini pada tahun 1995 hingga sekarang, banyak kejayaan diperolehi dan dikecapi oleh pasukan Seri Sarawak pada asal namanya.

Selama 16 tahun itu, mereka telah mengecapi tujuh kejuaraan dan sering kali mencipta nama di pentas perlumbaan perahu lebih-lebih lagi regata.

Antara kejayaan manis pasukan terbabit termasuklah ditabalkan selaku ‘Raja Sungai Rajang’ (Pesta Nenas), ‘Raja Sungai Baram’ (Regata Marudi), ‘Raja Sungai Batang Lupar’ (Pesta Benak), ‘Raja Sungai Regata Bintulu’, ‘Raja Sungai Nyelong’ (Pesta Nenas), ‘Raja Sungai Krian’ (Pesta Air Sungai Krian), ‘Raja Sungai Pesta Manggut’ dan yang terakhir sekali diperolehi pada bulan Februari lepas iaitu di Pesta Lawas 2011 apabila mereka dinobatkan selaku ‘Raja Sungai Lawas 2011’.

Justeru, tidak mustahil bagi pasukan Citra Seri Sarawak untuk menawan Sungai Sarawak pada Regata Sarawak 2011 nanti, sekali gus melengkapkan koleksi kejuaraan dengan merangkul kesemua kejuaraan pada kejohanan regata di negeri ini.