Kerajaan terus sokong pembangunan SME

0

TANDA PENGHARGAAN: Chua (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Larry sebagai tanda kenang-kenangan melancarkan Anugerah Pengiktirafan SME di Kuching semalam.

Sumber kewangan lebih besar mungkin disediakan untuk bantu pemain industri: Larry

KUCHING: Kerajaan akan mempertimbang untuk meningkatkan sumber kewangan Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) dan Bank Agro demi menyediakan perkhidmatan yang efektif kepada pemain dalam industri tersebut.

Menurut Penasihat Belia di Pejabat Ketua Menteri Larry Sng, kerajaan memandang serius penyediaan kemudahan kredit kepada SME untuk memudahkan mereka turut serta dalam aktiviti-aktiviti ekonomi utama.

Katanya, SME memainkan peranan penting dalam meneraju pertumbuhan ekonomi negara.

“Kerajaan akan terus menyokong pembangunan SME termasuk syarikat-syarikat kecil yang masih di peringkat awal penubuhan dan syarikat yang berpotensi mencapai taraf global.

“Kita juga akan menggalakkan SME luar negara bekerjasama dengan SME tempatan khususnya dalam teknologi moden agar mereka sama-sama dapat mendapat manfaat, selain akses kepada pasaran lebih luas,” katanya ketika melancarkan Anugerah Pengiktirafan SME, di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden Persatuan Industri Kecil dan Sederhana Kebangsaan Chua Tiam Wee, Presiden SME Negeri Thomsom Kuek, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Anugerah Pengiktirafan SME Albert Heng.

Menurut Larry, SME merangkumi lebih 99.2 peratus daripada perniagaan seperti pengeluaran, perkhidmatan iaitu perlombongan dan kuari dan sektor pertanian.

Katanya, SME juga menyediakan peluang pekerjaan untuk lebih 59 peratus tenaga kerja secara keseluruhan dan menyumbang kepada 31 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Selain menyediakan produk dan perkhidmatan sampingan kepada pengilang, katanya, SME juga pengguna utama barangan dan perkhidmatan tempatan.

Dengan itu, anugerah untuk memberi pengiktirafan kepada SME amat bertepatan dan sejajar dengan usaha kerajaan dalam menekankan pembangunan para pengusaha.

Terdapat 16 kategori berasingan akan dipertandingkan atas prestasi keseluruhan mereka sejak 36 bulan lepas.

Larry memaklumkan sebuah kategori baru juga akan dipertandingkan iaitu ‘Green Excellence Award’ bagi yang akan diberikan kepada pertubuhan yang cemerlang dalan teknologi hijau.

Kriteria pemilihan dan parameter prestasi bagi anugerah itu, katanya, lebih kurang sama dengan yang ditetapkan untuk perniagaan lebih besar.

“Itu akan meletakkan pemenang anugerah pengiktirafan PKS dalam liga yang sama sebagai pemain antarabangsa,” katanya.