Sarawak benam PDRM 2-0

0

KUCHING: Setelah tewas 0-1 di pangkuan Sime Darby Sabtu lalu, skuad Sarawak bangkit membenam Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2-0 dalam siri perlawanan persahabatan di Stadium Selayang, Kuala Lumpur malam kelmarin (Isnin).

BOBBY GONZALES

Dua gol Sarawak diperolehi pada babak kedua menerusi penyerang sensasinya, Bobby Gonzales minit ke-65 dan Khairul Azahar Edros minit ke-75.

“Kejayaan membenam Polis malam kelmarin (Isnin) telah memberi suntikan semangat baru buat para pemain dalam persiapan menghadapi Piala Malaysia musim ini.

“Justeru, saya percaya para pemain kita akan terus meningkatkan mutu permainan mereka dalam aksi seteusnya,” kata penolong jurulatih Sarawak, Mohd Farhan Abdullah.

Menurut Mohd Farhan, anak-anak buahnya bermain agak perlahan pada babak pertama menyebabkan mereka gagal menembusi gawang lawan untuk memburu jaringan awal.

Namun katanya, pada babak kedua perlawanan, persembahan para pemain Sarawak agak meningkat dan mereka banyak melakukan serangan berbahaya.

“Polis merupakan pasukan yang mantap juga dan mereka telah memberi cabaran yang begitu sengit kepada pasukan kita,” katanya.

Mohd Farhan berkata sentuhan berbisa penjaring terbanyak, Bobby Gonzales 20 minit selepas babak kedua bermula nyata telah menyemarakkan semangat semua pemain untuk terus mengasak lawan.

“Pemain-pemain kita bermain dengan baik pada separuh masa kedua dan memberi tekanan yang begitu tinggi kepada pihak lawan.

“Segenap posisi pasukan telah menunjukkan kombinasi yang baik dan para pemain nampaknya telah berjaya melakukan peningkatan mutu permainan masing-masing berbanding perlawanan menentang Sime Darby pada Sabtu lalu,” katanya.

Mohd Farhan menarik perhatian kemenangan ke atas Polis itu akan memberi keyakinan lebih tinggi buat anak-anak buahnya untuk menentang Negeri Sembilan di Stadium Paroi, Sabtu ini.

“Saya yakin para pemain kita mampu mengekalkan corak permainan menarik masing-masing untuk berhadapan dengan Negeri Sembilan nanti,” katanya.

Sarawak mengadakan tiga siri perlawanan persahabatan di Semenanjung Malaysia untuk memantapkan skuadnya mengharungi cabaran Piala Malaysia 2011 yang bermula pada 6 September depan.

Skuad bimbingan jurulatih import, Robert Alberts itu diletakkan dalam Kumpulan C bersama-sama juara bertahan, Kelantan dan pasukan berstatus kelab, Johor FC.

Sarawak akan memulakan aksi pembuka tirai Piala Malaysia dengan menentang Kelantan di gelanggang sendiri, Stadium Negeri Petra Jaya Kuching pada 6 September, jam 8.15 malam.

Selepas itu, Sarawak akan bertandang ke Kuala Lumpur untuk menentang Felda United FC di Stadium Petaling Jaya pada 10 September, jam 8.45 malam.

Sarawak kemudiannya akan menentang Johor FC di tempat sendiri (Stadium Negeri) pada 13 September depan, jam 8.15 malam.

Sehubungan itu, Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) telah menetapkan tiket untuk menyaksikan perlawanan Piala Malaysia di Stadium Negeri, Petra Jaya Kuching dengan harga RM10, RM15 dan RM35.

Tiket berharga RM10 ialah tempat duduk terbuka (tidak berbumbung), manakala RM15 bagi tempat duduk berbumbung dan RM35 untuk tempat duduk utama yang terhad.