Tak mungkin PRU-13 pada November, kata Masing

0

KUCHING: Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri James Masing menolak sebarang kemungkinan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan diadakan pada November tahun ini.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dikenali sebagai seorang yang mengkotakan janjinya dan pandangan saya, pilihan raya tidak akan diadakan dalam waktu terdekat ini.

“Ini kerana banyak lagi projek masih menunggu untuk dilaksanakan dan sudah tentu beliau akan mengadakan pilihan raya hanya selepas beliau menunaikan janji serta ikrarnya,” kata beliau.

Masing yang juga Menteri Kemajuan Tanah, memberitahu projek Inisiatif Baru Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) untuk Sarawak antara projek dimaksudkan dan baru memasuki fasa awal pelaksanaannya.

Beliau memberitahu, masih ada 18 bulan lagi sebelum tempoh Dewan Rakyat (Parlimen) berakhir dan sudah tentu Najib akan mengambil sedikit masa sebelum mengadakan PRU-13.

“Apapun bila pilihan raya akan diadakan, terpulang kepada Perdana Menteri dan saya percaya beliau lebih tahu tempoh paling sesuai untuk mengadakannya,” tambah beliau.

Masing berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai kenyataan Parti Keadilan Rakyat (PKR), PRU-13 akan diadakan lebih awal daripada yang dijangkakan.

Parti itu menjangkakan pilihan raya umum akan diadakan November ini ekoran beberapa petunjuk termasuk pembentangan bajet negara dua minggu lebih awal berbanding sebelum ini dan lawatan pegawai-pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ke premis-premis mengundi.

Ekoran itu, PKR telah menggerakkan jenteranya terutama di Sarawak kerana mahu melakar sejarah tersendiri kali ini selepas gagal mendapat sebarang kerusi Parlimen di negeri ini pada PRU-12 (2008).

Pada PRU-12, Barisan Nasional (BN) menang 30 daripada 31 kerusi ditandingi selepas kerusi Bandar Kuching menjadi milik Parti Tindakan Demokratik (DAP) menerusi wakilnya, Chong Chieng Jen.

Pada 2010 DAP memperoleh satu lagi kerusi (Parlimen) iaitu Sibu pada pilihan raya kecil ekoran kematian penyandangnya dari BN, mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew.