Wednesday, December 11

Amukan perompak bertopeng

0

PENAMPANG:  Seorang penjaga pusat siber di sini bernasib baik tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun terpaksa berdepan dengan ‘amukan parang’ tiga perompak bertopeng yang memasuki premis berkenaan awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.25 pagi itu, tiga perompak terbabit dikatakan hanya menetak barang-barang di dalam premis itu termasuklah meja, kerusi dan juga komputer riba milik pusat siber berkenaan.

Dipercayai sebelum kejadian, mangsa yang berumur 47 tahun itu sedang ‘berkemas’ untuk menutup premis berkenaan sebelum tiga lelaki bertopeng yang bersenjatakan parang muncul di hadapan premis itu.

Selepas itu, salah seorang daripada suspek dikatakan telah menendang pintu premis berkenaan sehingga terbuka sebelum kesemua mereka  masuk dan ‘mengamuk’ di dalam premis itu.

Salah seorang daripada suspek kemudiannya bertindak mengambil kesemua wang kira-kira RM2,000 yang disimpan di dalam sebuah laci pusat siber berkenaan manakala yang lain bertindak merosakkan barangan di dalam premis itu menggunakan parang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang, Asisten Superitendan Wan Badrul Hisham Wan Osman ketika dihubungi kelmarin mengesahkan kejadian itu dan berkata lima lelaki termasuk tiga warga asing yang dipercayai terlibat dalam rompakan itu telah ditahan.

“Berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh mangsa pada keesokan hari selepas kejadian, pihak polis telah menjalankan siasatan dan berjaya membuat tangkapan pada hari yang sama di salah sebuah restoran di Penampang Baru.

“Kesemua suspek yang ditahan berumur antara 23 dan 35 tahun, di mana salah seorang warga asing yang ditahan adalah pemegang dokumen  IMM13 manakala dua lagi tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah,” katanya ketika dihubungi di sini kelmarin.

Tambahnya, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.