Tuesday, September 17
September 16

Bantuan TBS akan perhebat aktiviti di bulan Ramadan

0

SAMARAHAN: Wakil-wakil jawatankuasa masjid dan surau di bahagian Samarahan bersyukur dan berterima kasih dengan bantuan daripada pihak Tabung Baitulmal Sarawak (TBS).

Menurut wakil Surau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Samarahan, Izam Abdul Rahman bantuan tersebut adalah perkara yang baik khususnya untuk surau-surau yang tidak mempunyai pendapatan.

Katanya, bantuan tersebut boleh digunakan untuk memperhebatkan aktiviti-aktiviti di surau-surau sepanjang bulan Ramadan.

“Bagi Surau IPD Samarahan, ia akan digunakan untuk membeli cenderahati yang diberikan kepada imam dan bilal serta peserta tadarus.

“Selain itu, ia boleh digunakan untuk menganjurkan aktiviti berbuka bersama pemimpin polis dan sebagainya,” katanya.

Menurut wakil Surau Kampung Rebak Borhan Lanjo, beliau sangat gembira dengan penerimaan bantuan tersebut.

Katanya, seperti biasa setiap tahun, wang tersebut akan digunakan untuk membeli kain pelekat dan kain batik untuk diberikan kepada peserta-peserta tadarus.

Bagaimanapun, beliau berkata adalah lebih baik sekiranya bantuan dapat diberikan lebih awal supaya dapat membeli barang-barang tersebut lebih awal.

Selain digunakan untuk penganjuran aktiviti-aktiviti surau, bantuan tersebut sedikit sebanyak dapat meringankan beban jawatankuasa surau untuk tujuan penyelenggaraan dan sebagainya.

Menurut Tambi Kar yang merupakan wakil jawatankuasa Surau Darul Makmur Semarak Hilir yang turut ditemui, selain bantuan daripada TBS,pihaknya turut menerima bantuan daripada wakil rakyat.

Katanya, wang-wang bantuan yang diterima selain digunakan untuk penganjuran aktiviti, ia turut digunakan untuk tujuan penyelenggaraan surau di kampungnya.

“Wang bantuan yang kami terima selama ini turut kami gunakan untuk membayar bil air dan bil elektrik,” jelasnya.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya Abdul Karim Hamzah telah menyerahkan wang bantuan daripada TBS berjumlah RM117,000 kepada 117 penerima.

Wang tersebut diagihkan setiap tahun bertujuan untuk membantu dari segi kewangan bagi membiayai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh masjid dan surau semasa bulan Ramadan.

Sementara itu, menurut sebuah siaran akhbar dari pihak TBS, setakat ini mereka telah mengagihkan sebanyak RM13.4 juta setakat 31 Julai 2011.

Bantuan-bantuan tersebut diagihkan melalui tiga program utama iaitu Program Mengukuhkan Tradisi Keilmuan (PMTK), Program Memantapkan Kebajikan Ummah (PMKU) dan Program Membangunkan Institusi Islam (PMII).

Hadir sama semalam adalah Residen Bahagian Samarahan Roziah Morshidi dan Pegawai Daerah Samarahan Mohd Ainnie Wahab.