Ramadan medan bina kualiti keimanan: Azizah

0

1-TERIMA KASIH...Salah seorang penerima OKU ketika menerima sumbangan daripada Azizah sambil diperhatikan oleh Herbert (kiri) dan Asnimar (dua kiri).

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Azizah Mohd Dun menyeru kepada masyarakat Islam agar menjadikan bulan Ramadan sebagai medan untuk membina kualiti keimanan dan ketakwaan.

Menurutnya, bulan Ramadan dapat mengajar umat Islam mendisiplinkan diri dengan ibadah puasa, tarawih, tadarus, berzikir dan bermunajat.

Beliau berkata, dengan berpuasa, ia bukan setakat menahan lapar dahaga, tetapi membentuk keperibadian insan yang lebih sabar, prihatin, mengutamakan kesihatan dan terurus mengatur masa.

“Di bulan puasa juga, kita jangan lupa bersedekah dan berkongsi kegembiraan bersama golongan yang tidak berkemampuan,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa anjuran kementeriannya di sini Selasa lepas.

Jelasnya, dengan bersedekah kepada golongan terbabit, ia sudah tentu dapat membantu meringankan beban mereka terutamanya dalam membuat persiapan sambutan bulan Syawal.

Azizah turut berterima kasih kepada Pusat Zakat Sabah (PZS) yang meluluskan permohonan bantuan sebanyak RM260,000 oleh kementeriannya untuk disalurkan ke setiap hospital di negeri ini.

“Bantuan berkenaan akan diserahkan oleh PZS sempena majlis Perasmian Pusat Rawatan Dialisis Majlis Ugama Islam Sabah-Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (Muis-NKF) selepas Hari Raya Aidilftri nanti.

“Saya difahamkan bantuan seumpama ini akan disalurkan secara tahunan bergantung kepada jumlah kutipan bayaran zakat,” katanya.

Justeru, beliau menyeru kepada umat Islam agar tidak mengabaikan salah satu rukun Islam iaitu membayar zakat  bagi membantu lebih ramai golongan yang layak menerima bantuan.

Pada majlis itu, seramai 100 penerima termasuklah anak-anak daripada institusi rumah kebajikan, anak-anak yatim dan orang kurang upaya (OKU) mendapat sumbangan untuk Hari Raya Aidilfitri.

Turut hadir, pembantunya, Datuk Herbert Timbun Lagadan, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Asnimar Sukardi, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Etong Terang, dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita (Jhewa), Datuk Siti Sapoo Ahok.