Sunday, May 16

Teguhkan penghayatan Al-Quran, kata KM

0

Umat Islam dari peringkat kanak-kanak perlu hayati Al-Quran untuk cipta kemajuan

KUCHING: Ketua Menteri Pehin Seri Abdul Taib Mahmud mengingatkan umat Islam untuk memperteguhkan lagi penghayatan Al-Quran dalam mencipta kemajuan masyarakat Islam di negeri ini.

Justeru beliau mengajak setiap umat Islam bermula dari peringkat kanak-kanak lagi untuk bersama-sama menghayati Al-Quran agar dapat memahami ilmu yang terkandung di dalamnya.

“Di Sarawak, kita diberi banyak keuntungan, masyarakat kita maju dan kita diberikan pentadbiran yang cukup baik. Jadi saya ingin mengajak kita semua supaya dapat memperteguhkan lagi Al-Quran agar dapat memandu kemajuan masyarakat Islam di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat negeri bagi tahun 1432H/2011M di Masjid Jamek Negeri, di sini malam kelmarin.

Menurut beliau, al-Quran juga telah memberikan banyak perubahan dari segi amalan masyarakat Islam di negara ini secara amnya.

“Banyak buku yang ternama di dunia adalah ditulis dengan inspirasi dari Al-Quran yang membolehkan kita menguasai ilmu sains dan teknologi berdasarkan isi kandungan.

“Selain itu, kita juga dapat memberi tafsiran baru kepada kaedah yang lebih baik dalam menjanakan kekayaan dan menguruskan ekonomi kita,” katanya.

Sebagai contoh, beliau memberitahu isi kandungan Al-Quran turut memberi kesan kepada sektor kewangan terutamanya dalam memperkenalkan sistem sukuk yang melindungi harta peminjam sekali gus memberi peluang kepada golongan kurang berkemampuan meningkatkan taraf hidup.

“Kaedah meminjam wang untuk pembangunan negara-negara Islam sekarang ini adalah satu sistem yang moden sekali.

“Demikian adalah satu teladan yang baik dan teladan teladan ini akan muncul dalam masa pembangunan kita,” katanya.

Sementara itu, Taib juga memberitahu beliau mengharapkan agar pembinaan Pusat Tahfiz Tun Abdul Rahman Ya’kub dapat mengalakkan lagi Tahfiz al-Quran di kalangan umat Islam di negeri ini.

“Kita telah berusaha untuk mengadakan satu pusat Tahfiz al-Quran yang dibinakan untuk mengalakkan Tahfiz al-Quran dan kita mengharapkan Tahfiz al-Quran ini akan bermula daripda golongan anak kecil lagi,” katanya.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin serta Speaker Dewan Undangan Negeri Dao Sri Mohd Asfia Awang Nassar, Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datuk Daud Abdul Rahman.