KPDNKK adakan pemeriksaan pastikan tanda halal Golden Churn ditutup

0

BINTULU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Bintulu telah memeriksa pasar-pasar raya dan kedai-kedai runcit di bahagian ini agar peniaga menutup tanda halal serta mengasingkan mentega jenama Golden Churn Pure Creamery Butter dengan menempatkannya di bahagian tidak halal.

Timbalan Ketua KPDNKK Cawangan Bintulu Mohammad Daud Ali berkata, setakat ini hasil pemeriksaan pihaknya mendapati para peniaga di sini mematuhi arahan tersebut.

Bagaimanapun katanya, sekiranya peniaga tidak mematuhi arahan tersebut mereka boleh diambil tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan.

“Berikutan itu kami akan meneruskan pemeriksaan dari semasa ke semasa terutamanya pada musim perayaan ini meskipun cuti panjang pada Hari Raya Aidilfitri untuk memantau keadaan itu,” ujarnya dalam sidang media di pejabat KPDNKK di sini semalam.

Dalam laporan media pada 15 Ogos lalu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengingatkan umat Islam di negara ini agar tidak menggunakan mentega berjenama Golden Churn Pure Creamery Butter selepas JAKIM mengesahkan produk berkenaan tidak halal.

Ketua Pengarahnya Othman Mustapha berkata, hasil perbincangan dengan KPDNKK, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Jabatan Kimia Malaysia (JKM), Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan, pihaknya memutuskan bahawa produk keluaran syarikat Ballantyne Food PTY dari New Zealand itu tidak halal.

“Ini berikutan laporan analisis yang diterima oleh Jabatan Agama Islam Sarawak pada 19 Julai lalu menunjukkan terdapat asid deoksiribonukleik (DNA) babi dalam produk berkenaan dan ia disahkan oleh JKM sendiri.

Sementara itu Mohammad Daud berkata, pengguna perlu membuat aduan kepada KPDNKK sekiranya ada peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barangan terutama barang kawalan sesuka hati.