Perlu berani ceburi industri kotej

0

Wanita di luar bandar digalak ambil bahagian untuk tingkat ekonomi keluarga

MIRI: Masyarakat luar bandar khasnya wanita digalak untuk menceburi industri kotej dalam usaha mereka untuk menambah pendapatan keluarga.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau berkata, penglibatan wanita dalam perniagaan amat digalakkan oleh kerajaan dan cara meningkatkan taraf hidup seisi keluarga.

Industri kotej merupakan sebutan bagi kumpulan perusahaan kecil-kecilan yang diusahakan di rumah kediaman, biasanya di peringkat kampung atau di desa.

Jenis perusahaan yang dijalankan merangkumi hasil anyaman, tenunan, jahitan, sulaman, kuih/makanan asli, hasil diproses berasaskan tanaman, ternakan dan perikanan, hasil pertukangan besi atau kayu dan seumpamanya.

“Saya menggalakkan lebih ramai wanita dari kalangan kaum Dayak dan Orang Ulu supaya menceburi bidang perniagaan bermula secara kecil-kecilan di rumah seperti industri kotej, berbekalkan kemahiran dan ilmu yang ada, kerana ia terbukti berjaya meningkatkan pendapatan isi rumah.

“Kerajaan sentiasa menawarkan bantuan untuk membantu rakyat kita aktif dalam perniagaan. Bagaimanapun tanpa minat yang mendalam, agak sukar juga kita berjaya dalam bidang ini,” jelasnya.

Antaranya kemudahan latihan, pembiayaan dan pemasaran menerusi agensi-agensi di bawah Jabatan Ketua Menteri seperti Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN).

Menurut Dennis, penyertaan aktif rakyat dalam industri kotej atau industri kecil dan sederhana (IKS) juga antara cara untuk menyeimbangkan pembangunan ekonomi antara masyarakat bandar dan luar bandar.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis pelancaran produk kulat yang diusahakan oleh suri rumah, Jocelyn Usun.

“Komitmen, aktif dan minat antara kriteria penting untuk kita berjaya dalam perniagaan,” tegasnya.

Beliau memuji keberanian Jocelyn untuk menceburi industri penanaman kulat yang diharap akan mendapat sambutan yang menggalakkan oleh pengguna di sini.

Jocelyn memiliki kebun kulat di kediamannya di Jalan Lutong Kuala Baram dekat sini yang diusahakan secara komersil.

Ketua Wanita Persekutuan Orang Ulu Malaysia (FORUM) Kaunselor Kijan Toynbee berbangga dengan kesungguhan Jocelyn dan berharap dapat dicontohi oleh wanita-wanita kaum Orang Ulu dalam usaha menambah pendapatan keluarga.