Tuesday, August 11

Tindakan MAS, AirAsia gusarkan penggiat pelancongan Sarawak

0

MIRI: Pengusaha industri pelancongan di Sarawak masih dalam kesamaran dengan nasib industri berikutan pertukaran saham antara syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia.

Berikutan itu, Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Rabu lalu mengutarakan niatnya untuk mengadakan perbincangan yang melibatkan kedua-dua syarikat penerbangan tersebut bersama pihak pengusaha industri pelancongan di Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutif STB, Rashid Khan memberitahu, pengusaha industri pelancongan Sarawak bimbang kerana kedua-dua syarikat penerbangan tersebut turut mengumumkan akan melakukan perubahan untuk merasionalisasikan operasi mereka terutamanya membabitkan jadual penerbangan.

“Mereka (pengusaha industri pelancongan) risau dengan kekerapan penerbangan dan perubahan tambang. Jadi, kami bercadang untuk membincangkan isu ini dengan lebih lanjut dengan melibatkan kedua-dua penerbangan berhubung isu ini, dan mereka yang terlibat telah pun dimaklumkan,” jelasnya.