Dadah bernilai lebih setengah juta ringgit dirampas dalam masa sehari

0

SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelmarin berjaya merampas dadah bernilai RM595,000 yang cuba diseludup masuk ke negara ini melalui dua kes berasingan.

Pengarah Kastam KLIA Datuk M.Govinden berkata, kes pertama yang berlaku sekitar jam 12 tengah malam melibatkan seorang lelaki warga Afrika berusia 33 tahun yang tiba dengan penerbangan Qatar Airways dari Doha dengan membawa sebuah beg bimbit hitam.

“Setelah beg tersebut diimbas, ia menunjukkan imej yang mencurigakan dan pemeriksaan rapi ke atas beg ini mendapati kedua-dua bahagian dinding beg ini kelihatan agak tebal dan setelah dibuka didapati pada kedua-dua dinding tersebut terdapat satu bungkusan yang mengandungi serbuk disyaki dadah berbahaya.

“Setelah diuji dengan test kit didapati bahan tersebut adalah positif methamphetamine (syabu). Berat kasar kesemua dadah ini berjumlah 1.9 kilogram (kg) dan dianggarkan bernilai RM475,000,” katanya kepada pemberita di sini kelmarin.

Govinden berkata, bagi kes kedua yang berlaku sekitar jam 4.30 petang, ia melibatkan seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 42 tahun yang tiba di Terminal Tambang Murah (LCCT) dengan penerbangan Air Asia dari Shenzhen, China.

Beliau berkata, setelah imbasan terhadap bagasi yang dibawa suspek menunjukkan imej yang mencurigakan, hasil pemeriksaan rapi yang dilakukan menemui empat bungkusan plastik berwarna perak yang mengandungi serbuk kristal dalam ruang khas pada lantai dan penutup bagasi tersebut.

“Ujian dengan test kit menunjukkan bahan tersebut adalah positif dadah jenis ketamin. Berat kasar kesemua bahan tersebut adalah 6.64 kg dengan nilai pasaran dianggarkan berjumlah lebih kurang RM120,000,” katanya.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan reman seminggu untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

Govinden berkata, Kastam KLIA berjaya merampas 72.91 kg dadah pelbagai jenis melibatkan 17 kes untuk tahun ini sehingga kelmarin, dengan nilai pasaran sebanyak RM6.218 juta.

Ia mencatatkan peningkatan berbanding tahun lalu di mana 75.7 kg dadah pelbagai jenis dirampas membabitkan 25 kes, dengan nilai pasaran RM11.995 juta.

“Pada tahun ini kita juga mengenal pasti modus operandi baru sindiket pengedaran dadah ini yang menggunakan mel dan kurier, di mana enam kes dicatatkan iaitu lima dari China dan satu dari India, dengan nilai rampasan dadah hampir RM1.5 juta,” katanya. — Bernama