Tujuh lelaki ditahan cuba seludup minyak di Durian Burung

0

KUALA NERANG: Tujuh lelaki ditahan sepasukan anggota tentera ketika cuba menyeludup 10,220 liter diesel dan petrol ke Thailand berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Kota Putra, Durian Burung di sini pagi semalam.

Mereka yang ditahan kira-kira jam 8.15 pagi terdiri daripada lima lelaki tempatan dan dua warganegara Thailand berumur antara 30 hingga 45 tahun.

Pegawai Memerintah Rejimen Ke-3 Artileri Diraja, Lt Kol Kamarularif Ramli berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya menahan tiga kenderaan jenis pikap sebelum menahan empat lagi kenderaan, masing-masing dua pikap dan dua kereta, yang cuba menyeludup keluar minyak.

“Hasil pemeriksaan mendapati, bahagian bonet belakang semua kenderaan yang bernombor pendaftaran Thailand telah diubah suai dengan diletakkan satu tangki besar dan dilengkapi paip saluran minyak.

“Siasatan juga mendapati sebanyak 9,910 liter petrol dan 310 liter diesel bernilai hampir RM20,000 berada dalam tangki semua kenderaan tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap di sini semalam. Kamarularif berkata, pihaknya akan menyerahkan kes itu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk siasatan lanjut.

“Rampasan hari in (semalam) adalah yang terbesar (setakat ini) untuk tahun ini selepas rampasan pada 27 Julai lepas yang melibatkan 560 liter petrol yang cuba diseludup ke negara jiran menggunakan pikap,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali. — Bernama