Warga emas maut dalam kebakaran awal pagi

0

BAGAN DATOH: Seorang warga emas maut dalam satu kejadian kebakaran yang membabitkan tiga buah rumah di Kampung Parit 21, Batu 13, Sungai Sumun di sini pada awal pagi semalam.

Mat Sairi Mohd Sameon, 94, yang tinggal seorang diri selepas kematian isterinya tiga tahun lepas, dipercayai lemas dalam kepulan asap apabila terperangkap di bahagian dapur, rumah papan dua tingkat di kampung berkenaan.

Sebahagian tubuh mangsa ditemui rentung dijilat api dalam kejadian pada jam 3 pagi itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang, Rahamad Nazlan berkata, kebakaran itu turut membabitkan dua buah rumah lain yang musnah dijilat api.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan dan kerugian dianggarkan bernilai RM80,000,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini semalam. Pihaknya menerima panggilan pada jam 3.05 pagi dan tiga jentera dikerah ke tempat kejadian dengan 13 anggota serta kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada jam 5.16 pagi.

Anak saudara kepada warga emas terbabit, Siti Zaharani Majidah, 43, berkata, bapa saudaranya datang menemuinya pada Jumaat lepas meminta wang untuk membeli juadah berbuka puasa dan itu kali terakhir beliau menemuinya.

Jenazah Allahyarham Mat Sairi selamat dikebumikan selepas solat zohor.

Salah seorang mangsa kebakaran, Norhamahani Mohd Noor, 32, berkata, ketika kejadian beliau bangun dari tidur untuk menyediakan sahur, dan terperanjat apabila melihat api sedang marak menjilat dinding rumahnya dan terus mengejutkan suami, Mustafa Raman Abdullah, 31, dan dua orang anaknya.

“Kami hanya menyelamatkan beberapa dokumen penting tetapi gagal menyelamatkan harta benda lain termasuk persiapan Aidilfiri bernilai RM500 turut musnah,” katanya.

Keluarga Arman Sudar, 45, bersama-sama isteri, Yati Embong, 36, dan lima anak juga kehilangan tempat tinggal dan harta benda.

Yati bagaimanapun bersyukur walaupun kehilangan wang tunai RM500 yang disediakan untuk persiapan menyambut Aidilfitri, namun kesemua anggota keluarganya selamat dalam kejadian itu. — Bernama