Guna pengangkutan awam untuk balik kampung

0

KUCHING: Orang ramai yang mahu pulang beraya ke kampung dinasihati menggunakan pengangkutan awam yang disediakan sepanjang musim perayaan ini.

Pengarah Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak Wan Samsulri Wan Hasbi berkata, ia bagi memastikan keselamatan penumpang lebih terjamin daripada menggunakan kereta dan van sapu.

“Gunalah perkhidmatan yang ada lesen sah daripada LPKP bagi memastikan keselamatan penumpang terjamin semasa balik ke kampung pada musim perayaan ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penggunaan van atau kereta sapu untuk balik ke kampung terutama pada musim perayaan ini.

Tambahnya, jumlah pengangkutan awam adalah mencukupi untuk digunakan sepanjang musim perayaan tahun ini.

“Sebanyak 100 pengangkutan awam disediakan untuk kegunaan orang ramai yang mahu balik beraya di kampung.

“Jika kita menggunakan kenderaan yang tidak berlesen daripada LPKP, ia belum tentu memastikan keselamatan kita sebagai penumpang,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau meminta pihak berkuasa membuat pemantauan sepanjang musim perayaan ini bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini terjadi.

“Jadi gunalah kemudahan yang telah disediakan untuk keselamatan kita sendiri,” ujarnya.