Kerajaan iktiraf peranan RELA bantu PDRM jaga keselamatan negara

0

LATIHAN: Leftenan Kolonel Wallen menunjukkan markah yang diperoleh oleh Billy sambil disaksikan oleh Alexander semasa Sesi Latihan Menembak RELA Kapit, kelmarin.

KAPIT: Kerajaan mengiktiraf peranan Ikatan Relawan Rakyat (RELA) dalam membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjaga keselamatan, keamanan dan keharmonian negara, kata Ahli Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi.

“Setiap kali saya menghadiri pelbagai aktiviti atau program sama ada anjuran kerajaan mahupun swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli-ahli RELA sentiasa berada di sana bagi memastikan program itu berjalan dengan lancar.

“Peranan serta tanggungjawab anggota RELA ini merupakan satu perkara yang terpuji.

“Setiap ahli ternyata komited dan mempunyai komitmen yang tinggi dalam melaksanakan tugas mereka,” katanya ketika berucap dalam Sesi Latihan Menembak RELA Kapit (Baleh dan Pelagus) di Kilometer 3, Jalan Selirik, berhampiran Taman Pasifik, di sini kelmarin.

Hadir sama Ahli Parlimen Hulu Rejang Datuk Billy Abit Joo, Pegawai RELA Kapit Leftenan Kolonel Anthony Lugap, Pegawai Operasi RELA Sarawak Leftenan Kolonel Wallen Alexander Gugak, Pegawai Daerah Kapit Simon Japut Tiok, ASP Chiew Swoi Kee, dan Penyelia Kanan KEMAS Kapit Ambrose Abong Bugek.

Alexander berkata, langkah kerajaan membentuk RELA adalah sesuatu yang wajar dan terbukti berkesan.

“RELA sentiasa proaktif dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti mereka.

“Malah, mereka turut mempunyai pakaian seragam sendiri, satu kebanggaan kepada setiap anggota RELA dan memberikan mereka kuasa dalam menjalankan tugas membantu pihak polis menjaga keselamatan masyarakat.

“Oleh itu, saya berharap agar setiap anggota RELA mempunyai keyakinan yang tinggi dalam menjalankan tugas yang diterima,” katanya.

Dalam pada itu, Alexander berkata walaupun Kapit sentiasa berada dalam keadaan yang aman dan harmoni, namun RELA harus sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang timbul.

Beliau dan Billy masing-masing mengumumkan peruntukan sebanyak RM5,000 kepada RELA Kapit, jumlah peruntukan yang diumumkan ialah RM10,000 bagi membolehkan RELA mengadakan program.