KPDNKK nafi harga naik

0

Tiada tindakan terhadap peniaga kenakan caj pengangkutan ke atas setiap tong gas

KUCHING: Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak semalam menafikan berlakunya kenaikan harga gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi seperti didakwa penduduk Kuala Baram, Miri.

Pengarahnya Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman juga memberitahu pemantauan rutin pegawai penguat kuasa KPDNKK Negeri setakat ini mendapati tiada kes seumpama itu dikesan berlaku di Sarawak.

“Apa yang berlaku di Miri ialah kadar bayaran dikenakan ke atas perkhidmatan penghantaran tong gas LPG dari kedai ke rumah pengguna… kadar bayaran ini adalah hak individu (penjual) dan ia adalah pilihan pengguna sendiri.

“Maknanya pengguna boleh memilih untuk tidak menggunakan perkhidmatan pengangkutan disediakan oleh penjual atau pembekal,” jelasnya ketika dihubungi Utusan Borneo semalam.

Justeru katanya KPDNKK tidak dapat mengambil tindakan ke atas peniaga yang mengenakan caj pengangkutan ke atas setiap tong gas LPG yang dihantar kepada pengguna.

“Pegawai penguat kuasa kami sudah pun pergi melakukan siasatan ke tempat dimaksudkan dan mendapati bukannya kenaikan harga gas LPG bersubsidi tetapi bayaran tambahan bagi kos penghantaran.

“Justeru dalam kes ini kami tidak boleh mengambiil tindakan,” katanya sambil menambah, pengguna mesti bijak membuat keputusan ketika mahu membeli barangan atau mendapatkan perkhidmatan.

Isnin lepas Utusan Borneo melaporkan penduduk Kampung Muhibbah Kuala Baram, Miri mengeluh kerana harga gas LPG bersubsidi naik mendadak sehingga mencecah RM37 satu tong.

Menurut Ketua Kampung, Kuala Baram Nordin Yusof kenaikan itu adalah antara RM33 hingga RM37 satu tong bermula awal bulan Ramadan.

Sehubungan itu beliau mahu kementerian bertanggungjawab turun padang memantau harga gas LPG bersubsidi bagi mengelak keadaan itu berlarutan.