Saturday, September 19

Pemuda, Wanita PBB Bekenu mahu Ahmad Lai dicalon semula

0

MIRI: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Sayap Wanita PBB Cawangan Bekenu telah sebulat suara bersetuju untuk mencalonkan semula penyandang kerusi Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 yang akan datang.

Timbalan Ketua PBB Bekenu, Kaunselor Jamali Basri berkata persetujuan itu dibuat pada satu mesyuarat khas yang diadakan baru-baru ini yang mahukan penyandang kerusi itu, dikekalkan.

“Kita percaya menerusi kecemerlangan yang ditunjukkan beliau (Ahmad Lai) sepanjang menjaga konstituensi P219 Sibuti, ramai penduduk mendambakan khidmat beliau untuk terus menerajui kemajuan Sibuti,” katanya di sini semalam.

Dalam mesyuarat sama, beliau berharap semua ahli PBB sentiasa bekerjasama antara satu sama lain terutamanya dalam usaha merangka pelan menghadapi pilihan raya akan datang.

“Kami mahu supaya kerusi P219 Sibuti kekal milik PBB manakala penyandangnya, Ahmad Lai Bujang dicalonkan semula pada pilihan raya akan datang,” katanya dengan nada tegas.

Jamali menjelaskan, rata-rata ketua dan ahli-ahli cawangan ranting PBB Bekenu dalam mesyuarat terbabit telah bersetuju supaya kerusi Parlimen Sibuti kekal diterajui oleh Ahmad Lai Bujang.

Menurutnya, kawasan Sibuti kini telah mengalami pelbagai transformasi pembangunan setelah konstituensi ini dijaga dengan penuh rapi oleh wakil rakyat dari PBB.

“Kita tidak mahu kerusi ini terlepas di tangan mana-mana pihak dan atas alasan itu, kami telah bermesyuarat dan memberi kata putus bahawa penyandang kerusi itu perlu dicalon semula pada PRU kelak,” ujarnya.

Sementara itu, pihaknya juga telah merancang untuk mengadakan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 1Malaysia di Dewan Masyarakat Bekenu pada 13 Oktober depan.

“Semua penduduk di bawah konstituensi Parlimen Sibuti termasuk Lambir dan Bekenu dijemput hadir bagi memeriahkan majlis terbabit dan perasmiannya akan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Sibuti sendiri,” jelasnya.