Suspek kes bunuh ditahan

0

Bunuh rakan seperniagaan, 3 lelaki termasuk dua beradik ditahan

MIRI: Polis Miri percaya dapat menyelesaikan satu kes bunuh membabitkan seorang subkontraktor malam Sabtu lalu dengan tertangkapnya tiga lelaki termasuk dua adik-beradik, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Polis (ACP) Jamaluddin Ibrahim ketika dihubungi Utusan Borneo semalam memberitahu ketiga-tiga suspek yang berusia 28, 31 dan 36 tahun telah ditangkap sekitar jam 9 pagi di sebuah pondok di kawasan hutan Kuala Baram.

Ketika tangkapan dibuat katanya, polis percaya ketiga-tiga suspek, dua daripadanya merupakan adik-beradik dan seorang lagi adalah sepupu kepada mereka sedang bersembunyi di pondok berkenaan.

“Sehubungan itu, dengan tertangkapnya tiga suspek terbabit yang berketurunan Suluk dari Sabah, kami menganggap kes ini telah selesai. Pun begitu, kami akan terus melancarkan gerakan memburu seorang lagi suspek yang masih bebas untuk melengkapkan kertas siasatan,” ujar beliau sambil menambah sebelum tangkapan dibuat, polis terpaksa membuat intipan selama lima jam di dalam hutan terbabit.

Katanya, kes disiasat mengikut peruntukan Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Sementara itu menurut Jamalauddin, suspek yang masih bebas dan berusia lingkungan 20-an merupakan adik bongsu kepada dua beradik yang telah ditangkap semalam.

Dalam kejadian yang berlaku malam Sabtu lalu, mangsa yang hanya dikenali sebagai Murtadza, 51, berketurunan Bajau dari Sabah dijumpai terbaring dalam keadaan berlumuran darah di dalam sebuah rumah Quadruplex di Bandar Baru Permyjaya oleh seorang rakannya yang kebetulan datang ke rumah tersebut.

Mangsa yang cedera parah dengan kesan tetakan di kepala kemudian dikejarkan ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia sekitar jam 1 pagi Ahad lalu.

Difahamkan, mangsa telah datang ke rumah Quadruplex itu sekitar jam 9 malam untuk berjumpa empat rakan kongsinya bagi tujuan membahagikan bayaran yang diterima daripada seorang kontraktor (tauke) setelah menyiapkan satu kontrak pembinaan.

Menurut Jamaluddin, bayaran itu telah diberikan oleh tauke terbabit kepada salah seorang daripada suspek yang diamanahkan untuk membahagikannya kepada empat yang lain termasuk si mati.

Pun begitu, perjumpaan itu telah berakhir dengan perselisihan faham dan pergaduhan, di mana mangsa dipercayai telah ditetak menggunakan objek tajam.

Doktor yang merawat mangsa juga mengesyaki mangsa telah ditetak menggunakan objek tajam berdasarkan kesan kecederaan yang dialaminya di bahagian kepala dan kemudian menghubungi polis untuk memaklumkan tentang kejadian tersebut.

“Mangsa dan empat suspek adalah rakan senegeri yang telah datang bersama-sama ke sini untuk bekerja sebagai subkontraktor,” katanya.