Pesawat Twin Otter milik MASwings terbabas, 18 penumpang selamat

1

TERBABAS: Keadaan pesawat Twin Otter yang terbabas ke tepi landasan sebaik mendarat di Lapangan Terbang Lawas petang semalam.

MIRI: Seramai 18 orang termasuk dua anak kapal yang terdiri daripada seorang juruterbang dan seorang pembantu juruterbang nyaris maut apabila sebuah pesawat ringan jenis Twin Otter yang mereka naiki terbabas sebaik mendarat di Lapangan Terbang Lawas petang semalam.

Menurut sumber, pesawat MH3516 milik MASwings itu yang membawa seramai 16 orang penumpang telah berlepas dari Lapangan Terbang Miri pada jam 2.45 petang.

Sebaik membuat pendaratan di Lapangan Terbang Lawas sekitar jam 3.30 petang, pesawat ringan terbabit tiba-tiba terbabas dipercayai berpunca dari tayar bahagian hadapannya yang tertanggal.

Menurut salah seorang penumpang yang enggan namanya disiarkan, mereka bernasib baik kerana pesawat terbabit tidak terbabas ke Sungai Lawas yang hanya terletak beberapa meter dari hujung landasan.

Berikutan itu, semua operasi di lapangan terbang tersebut ditutup buat sementara waktu bagi membolehkan siasatan lanjut berhubung insiden berkenaan dilakukan pihak berkuasa.

Pesawat terbabit merupakan satu daripada empat pesawat Twin Otter milik MASwing yang menyediakan perkhidmatan udara luar bandar di seluruh Sarawak dan membuat penerbangan sebanyak enam kali sehari dari Miri ke Lawas.