Arsenal, Benfica ke fasa kumpulan

0

SENGIT: Pemain Benfica, Pablo Aimar (kiri) berebut bola dengan pemain FC Twente, Douglas pada kelayakan Liga Juara-Juara Eropah di Stadium Luz, Lisbon 24 Ogos lepas. Benfica mara ke undian sebenar kejohanan apabila menang dengan agregat 5-3. — Gambar Reuters

Skuad Wenger bukti kecekalan dengan kemenangan bergaya di Itali

TERBANG TINGGI: Penyerang Arsenal, Theo Walcott meraikan jaringan golnya pada perlawanan kelayakan Liga Juara-Juara Eropah menentang Udinese, 24 Ogos lepas. — Gambar AFP

PARIS, Perancis: Arsenal mengesahkan tempat ke Liga Juara-Juara untuk musim ke-14 berturut-turut Rabu lepas dengan kemenangan bergaya ke atas Udinese di Itali, sementara bekas juara, Benfica juga melangkah ke fasa pertama kejohanan.

Mempertahankan kemenangan tipis 1-0 daripada perlawanan pertama kelayakan, Arsenal, selepas mengharungi permulaan hambar dalam kempen Liga Perdana Inggeris dengan hanya satu mata dan tanpa gol, ketinggalan pada minit ke-39 menerusi gol Antonio di Natale dan mengikat kedudukan secara agregat.

Tetapi kapten Arsenal, Robin van Persie mengikat kedudukan 1-1, 10 minit selepas rehat sebelum Udinese mempersia-siakan peluang keemasan untuk kembali di hadapan apabila pengadil Olegario Benquerenca menghadiahkan satu tendangan penalti selepas pemain pertahanan Arsenal, Thomas Vermaelen terpegang bola dalam kotak penalti.

Penjaga gol Arsenal, Wojciech Szczesny bertindak tangkas menepis tendangan penalti di Natale dan selepas itu, Arsenal mengambil sepenuh peluang kegagalan itu apabila Theo Walcott meletakkan Arsenal di hadapan pada minit ke-69.

Gol itu terbukti mencukupi untuk memastikan kemenangan pada hari apabila Samir Nasri melengkapkan perpindahannya dari Arsenal ke Manchester City dan sembilan hari selepas Cesc Fabregas kembali ke Barcelona.

“Kami menunjukkan bahawa, ketika tertekan, kami boleh memberi reaksi yang tenang dan bermain dengan baik, bermain seperti yang kami tahu,” kata pengurus Arsenal, Arsene Wenger ketika memberitahu ITV.

Axel Witsel menjaringkan dua gol ketika Benfica menewaskan pendahulu Liga Belanda, FC Twente 3-1 di Stadium of Light untuk kemenangan 5-3 secara agregat ekoran keputusan seri 2-2 di Belanda minggu lepas.

Witsel, yang dibeli dari Standard Liege pada musim panas, menjaringkan gol pada minit ke-46 dan 66, sementara satu lagi gol dijaringkan oleh Luisao pada minit ke-60.

Lyon akan bermain dalam Liga Juara-Juara untuk musim ke-12 berturut-turut selepas keputusan seri 1-1 di Rubin Kazan, Rusia, untuk memastikan mereka melangkah ke pusingan pertama kejohanan dengan kemenangan 4-2 secara agregat.

Bebras Natcho membuka jaringan buat Rubin ketika berbaki 13 minit permainan, membolehkan kelab dari Rusia itu mengintai peluang untuk meneruskan kemaraan.

Namun, pemain baru Lyon, Bakary Kone menamatkan harapan pasukan tuan rumah dengan gol penyamaan perlawanan.

“Ia satu kelegaan dan ke-puasan untuk melangkah ke Liga Juara-Juara,” kata jurulatih Lyon, Remi Gar-de.

“Saya mula gelisah apabila kami terlepas beberapa peluang. Apabila anda mensia-siakan peluang yang baik, ia memberikan keyakinan kepada lawan anda.”

Turut mengesahkan tempat ke pusingan pertama kejohanan ialah kelab dari Republik Czech, Viktoria Plzen, yang menewaskan Copenhagen 2-1 dan penampilan pertama mereka ke kejohanan elit kelab bola sepak Eropah itu.

BATE Borisov dari Belarus menewaskan Sturm Graz 2-0 di Austria untuk kemenangan agregat 3-1.

Pada hari Selasa, Bayern Munich mengatasi FC Zurich 1-0 di Switzerland untuk kemenangan agregat 3-0 sementara Villarreal membelasah Odense dari Denmark 3-0 (3-1).

Dinamo Zagreb, Genk dari Belgium dan APOEL Nicosia turut mara ke kejohanan sebenar.

Undian kumpulan pusingan pertama yang memaparkan 10 pemenang perlawanan playoff dan 22 penyertaan automatik.

Salah satu pasukan itu ialah Trabzonspor, yang menggantikan tempat juara Liga Turki, Fenerbahce selepas digantung ekoran skandal mengatur perlawanan. — AFP