Guardiola buru kegemilangan Piala Super Eropah

0

PARIS, Perancis: Josep Guardiola boleh menjadi jurulatih paling berjaya dalam sejarah kelab Barcelona apabila juara Eropah itu menentang FC Porto pada perlawanan Piala Super UEFA di Monaco hari ini.

GUARDIOLA

Guardiola, 40, memerlukan hanya tiga tahun sebagai jurulatih untuk menyamai rekod Johan Cruyff yang memenangi 11 kejuaraan di Nou Camp.

Ia satu statistik yang luar biasa, dan dengan penguasaan Barca dalam pertandingan Eropah ketika ini, tidak mengejutkan jika Guardiola tidak meraikan kejuaraan yang ke-12 pada perlawanan di Stade Louis II malam ini.

Barca sudah memenangi kejuaraan pertama musim ini, apabila menewaskan Real Madrid 5-4 secara agregat pada perlawanan Piala Super Sepanyol.

La Liga Sepanyol dijadualkan bermula minggu lepas, tetapi mogok oleh kesatuan pemain menyebabkan keseluruhan jadual pusingan pertama perlawanan ditangguhkan namun perlawanan dua perlawanan sengit menentang Real Madrid sekurang-kurangnya membantu meningkatkan tahap kecergasan pasukan.

Mereka juga bermain pada hari Isnin apabila membelasah Napoli 5-1 pada kejohanan tahunan Trofi Joan Gamper di Nou Camp.

Sekarang mereka akan berlepas ke Monaco untuk cuba mengulangi kejayaan pada 2009, apabila Pedro menjaringkan gol tunggal ketika menentang Shakhtar Donetsk.

Barca juga berharap untuk memenangi trofi untuk Sepanyol pada tahun ketiga berturut-turut, selepas Atletico Madrid menewaskan Inter Milan 2-0 tahun lepas.

Bagaimanapun, ketika barisan serangan mereka semakin kuat dengan kehadiran dua pemain baru, Cesc Fabregas dan Alexis Sanchez, keputusan Guardiola untuk tidak memperkuatkan barisan pertahanannya mungkin memberikan masalah apabila dua pemain pertahanan terbaiknya, Carles Puyol dan Gerard Pique tidak dapat bermain selama tiga minggu kerana kecederaan.

Puyol mengalami kecede-raan lutut sementara Pique cedera di bahagian betis semasa latihan Selasa lepas dan ini bermakna, Javier Mascherano dijangka bergandingan dengan Eric Abidal di pertahanan tengah Barca.

Porto juga menikmati musim lepas yang hebat, di mana mereka menewaskan Braga untuk memenangi Liga Europa di Dublin dan melengkapkan kejuaraan berganda Liga Portugal dan Piala Portugal.

Sejak itu, jurulatih mereka, Andre Villas-Boas berpindah ke Chelsea sementara penyerangnya, Radamel Falcao — yang menjaringkan 17 gol dalam kempen Liga Europa — dijual ke Atletico Madrid bersama-sama pemain tengah, Ruben Micael.

Pemain pertahanan, Alvaro Pereira juga mungkin akan meninggalkan kelab dengan Villas-Boas berminat membawanya ke Chelsea.

Dengan masa depan beliau di Estadio do Dragao menjadi tanda-tanya, Pereira tidak diturunkan dalam skuad tetapi sembilan pemain yang bermain di final Liga Europa pada bulan Mei lalu, disenaraikan dalam skuad oleh jurulatih baru, Vitor Pereira.

Pereira, 43, adalah penolong Villas-Boas musim lepas tetapi ini adalah musim pertama beliau sebagai jurulatih di peringkat tertinggi.

Guardiola sendiri jurulatih muda apabila menjadi jurulatih Barca pada 2008 dan kekurangan pengalaman Pereira tidak menghalang beliau dari memenangi Piala Super Sepanyol dan mendahului awal kedudukan liga dengan dua kemenangan setakat ini.

Namun, selepas mengatasi Gil Vicente pada Sabtu lepas, Barca adalah lawan yang berbeza buat Porto. — AFP