Saturday, June 10

Kemalangan jalan raya menurun hasil kesedaran pengguna: Kong

0

LUMUT: Pengguna jalan raya semakin sedar terhadap aspek keselamatan hasil pelbagai kempen dan penguatkuasaan yang dijalankan dan ini terbukti dengan kadar kemalangan yang berkurangan tahun ini, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha.

“Diharapkan momentum itu dapat dikekalkan semasa musim perayaan Aidilfitri kali ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan kepada warga miskin di Taman Samudera Baru di sini semalam.

Sebagai contoh, katanya, dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini, kadar kematian jalan raya adalah 136 kes, turun empat peratus berbanding tempoh yang sama tahun lelasp manakala kadar kecederaan parah turun 28 peratus dan kecederaan ringan mencatatkan penurunan 9.4 peratus.

“Kita mahu keadaan ini dikekalkan sekali gus mampu mencapai sasaran 3.1 peratus kadar kemalangan maut bagi setiap 10,000 kenderaan di atas jalan raya tahun ini tercapai,” kata Kong.

Mengenai satu perkara lain, beliau melahirkan penghargaan kepada Kesatuan Pekerja KTM Berhad kerana membatalkan hasrat melancarkan tindakan ‘kerja ikut peraturan’ sepanjang musim perayaan minggu depan.

Kesatuan itu sebelum ini memberi amaran akan bertindak demikian jika permintaan mereka yang mahukan perkhidmatan Presiden KTMB Dr Aminuddin Adnan ditamatkan tidak dilayan.

Kong berkata, hasil rundingan, presiden kesatuan itu Abdul Razak Md Hassan bersetuju untuk menangguhkan hasrat mereka itu demi kepentingan rakyat lebih-lebih lagi ketika cuti musim perayaan Hari Raya ini.

“Kita akan meneruskan lagi siri rundingan tersebut dan yakin sebarang masalah yang timbul boleh diselesaikan dengan cara yang baik. Pihak kementerian akan mengkaji dari semua sudut bagi menyelesaikan kemelut itu,” katanya. — Bernama