LONDON, England: Liverpool melangkah selesa ke pusingan ketiga Piala Liga Inggeris dengan kemenangan 3-1 ke atas kelab kerdil, Exeter City sementara tiga lagi kelab sepertinya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), Everton, Blackburn Rovers dan Bolton, juga meneruskan kemaraan.
Liverpool, yang dibimbing Kenny Dalglish, bermain pada pusingan kedua pertandingan buat kali pertama sejak 1999 selepas gagal melayakkan tempat untuk mana-mana pertandingan di Eropah.
Tetapi juara tujuh kali kejohanan itu tidak pernah berada dalam bahaya tersingkir dari kejohanan pada perlawanan di St James’ Park apabila gol Luiz Suarez, Maxi Rodriguez dan Andy Carroll memberikan kemenangan ke-200 buat Dalglish dalam semua pertandingan sejak dua kali menjadi pengurus Liverpool.
“Kami menang kerana kami serius dalam perlawanan ini. Apa yang paling menggembirakan ialah sikap pemain,” kata Dalglish.
Beliau juga mengesahkan bahawa pemain tengahnya, Raul Meireles mengalami kecederaan tulang bahu dan tidak akan dapat bermain selama beberapa minggu.
“Saya tidak tahu keseriusannya tetapi beliau mungkin direhatkan beberapa minggu,” tambah beliau.
Dalglish melakukan lapan pertukaran tetapi Liverpool membuka jaringan pada minit ke-23 apabila Artur Krysiak menepis hantaran lintang Jordan Henderson ke arah Suarez, yang merembat ke pintu gol.
Rodriguez menjaringkan gol kedua apabila menyempurnakan hantaran Suarez pada minit ke-55 sebelum pemain gantian, Andy Carroll melengkapkan jaringan tiga minit selepas itu.
Exeter menjaringkan gol sagu hati pada minit ke-80 apabila Martin Skrtel menjatuhkan Daniel Nardiello dalam kotak penalti, yang disempurnakan sendiri oleh Nardiello.
Everton memadam kemurungan di Goodison Park dengan kemenangan 3-1 ke atas kelab Liga Satu, Sheffield United.
Anak buah David Moyes memulakan musim baru dengan hambar apabila tewas 0-1 kepada Queens Park Rangers (QPR) Sabtu lepas, beberapa hari selepas pengerusi kelab, Bill Kenwright mengakui tidak mempunyai wang untuk dibelanjakan ketika kelab berhenti menyalurkan dana baru.
Satu hari yang malang kelihatan berulang lagi apabila Richard Cresswell meletakkan Sheffield di hadapan pada minit ke-28 tetapi tiga minit selepas itu, penyerang Sheffield, Jack Rodwell tertolak bola ke pintu golnya sendiri untuk memberikan gol penyamaan Everton.
Victor Anichebe menolak bola muntah dari rembatan Ross Barkley pada minit ke-37 sebelum Mikel Arteta melengkapkan jaringan lima minit selepas itu.
Blackburn mengurangkan tekanan ke atas pengurusnya, Steve Kean dengan kemenangan 3-1 ke atas Sheffield Wednesday di Ewood Park.
Kean mula merasai tekanan selepas kelabnya tewas dua perlawanan pertama EPL dan beliau tidak mampu tewas lagi terutama sekali menentang lawan dari Liga Satu (divisyen tiga).
Rovers menjaringkan tiga gol dalam tujuh minit pertama apabila penyerang Ruben Rochina menjaringkan dua gol sebelum David Goodwillie menjaringkan gol pertamanya selepas perpindahan dari Dundee United.
Penyerang antarabangsa Turki, Tuncay Sanli menjaringkan gol pertama pada penampilan sulung untuk Bolton, yang bangkit dari ketinggalan sebelum menewaskan kelab Liga Dua, Macclesfield 2-1.
Terdapat satu jurang 75 anak tangga liga di antara kedua-dua pasukan tetapi Macclesfield mencipta kejutan apabila mendahului pada minit ke-11 menerusi gol Emile Sinclair.
Bolton mengikat kedudukan menerusi gol Tuncay pada minit ke-56 dan beliau kemudian mengumpan gol kemenangan kepada Martin Petrov pada minit ke-73.
Peterborough membelasah Ipswich 7-1 dalam aksi Liga Championship pada hari Sabtu tetapi tewas 0-2 kepada lawan dari liga yang sama, Middlesbrough di London Road.
West Ham United, sebuah lagi kelab Liga Championship dicemuh selepas tewas 1-2 kepada Aldershot, kelab Liga Dua, di tempat sendiri.
Bristol City, yang juga bermain dalam Liga Championship, juga tewas kepada lawan dari Liga Dua apabila Swindon menang 1-0 di Ashton Gate pada perlawanan pusingan pertama. — AFP