Pengendali pelancongan haram jejas masa depan Langkawi

0

ALOR SETAR: Kerajaan diminta mengambil tindakan tegas terhadap pengendali pelancongan tidak berlesan di Langkawi kerana mereka ini memberi imej buruk kepada industri pelancongan dalam jangka masa panjang.

Timbalan Presiden Persatuan Pelancongan Langkawi Pishol Ishak berkata, ketika ini ramai pengendali pelancongan yang beroperasi secara haram di pulau bebas cukai itu berikutan kepesatan industri pelancongan di Langkawi tetapi kebanyakan mereka hanya menumpukan kepada usaha mendapatkan pelanggan tanpa mempedulikan tahap perkhidmatan.

Katanya, beliau sering menerima aduan daripada pelancong tentang layanan buruk melibatkan pengendali pelancongan tidak berlesen.

“Kesannya pelancong asing yang berhadapan dengan masalah itu akhirnya tidak mahu datang ke Langkawi lagi,” katanya kepada Bernama.

Pishol berkata, banyak pengendali pelancongan tidak berlesen menggunakan pekerja asing yang tiada permit menyebabkan kualiti perkhidmatan mereka begitu teruk berbanding pengendali pelancongan berlesen yang mengadakan latihan untuk pekerja mereka walaupun pekerja asing.

Katanya, Persatuan Pelancongan Langkawi bersedia untuk mengambil alih penganjuran Ekspo Pelancongan Malaysia (MTEX) daripada Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) jika diberi peluang.

Pishol berkata, MTEX mempunyai makna yang besar kepada industri pelancongan Langkawi kerana ia mengumpulkan semua pihak dalam industri pelancongan terutama agensi pelacongan dari seluruh dunia di Langkawi.

“Kalau kita nak promosi Langkawi cara biasa, kita kena pergi satu dunia.

Tetapi menerusi MTEX semua pihak berkenaan akan dikumpulkan di Langkawi.

“Kami serius untuk anjurkan MTEX tetapi perlukan kerjasama beberapa pihak terutama syarikat penerbangan. Jika mereka bantu kami mereka juga yang untung akhirnya,” katanya.

MTEX 2011 sepatutnya diadakan di sini dari 25 hingga 28 Sept ini tetapi terpaksa dibatalkan akibat faktor kewangan. — Bernama