Rakyat harus berdikari: Talib

0

BANTUAN: Talib (kiri) menyerahkan geran MRP kepada seorang penerima sambil disaksikan oleh Tuah (tengah).

Mereka perlu ambil inisiatif sendiri selesai masalah dihadapi atau penuhi keperluan memajukan kawasan

BINTULU: Meskipun kerajaan ada memberi bantuan kepada rakyat namun mereka juga perlu mengambil inisiatif sendiri untuk cuba menyelesaikan masalah yang mereka hadapi atau memenuhi keperluan memaju dan membangunkan kawasan mereka.

Menteri Muda Pelancongan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Jepak Datuk Talib Zulpilip berkata, kerajaan tidak boleh menanggung semua keperluan rakyat melainkan rakyat sendiri berusaha menyelesaikan keperluan dan masalah yang mereka hadapi.

“Namun kerajaan tetap mendengar permasalahan dan keperluan yang disuarakan oleh rakyat terutama masalah yang tidak dapat mereka selesaikan.

“Apa yang saya sarankan adalah rakyat dan pemimpin akar umbi boleh mengambil tindakan dan usaha awal untuk mengatasi masalah dan keperluan di penempatan mereka terlebih dahulu sebelum meminta bantuan daripada kerajaan,” ujarnya semalam.

Beliau berkata demikian dalam majlis penyampaian geran projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM128,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan persatuan-persatuan untuk fasa ketiga bagi kawasan Dewan Undangan Negeri N.58 Jepak di Bilik Mesyuarat Wisma Residen semalam.

Talib berkata, tidak ada kerajaan di dunia yang boleh menanggung dan menyelesaikan semua masalah penduduk kecuali kerajaan di negara ini yang sanggup memberi bantuan seumpamanya walaupun bantuan yang diberikan itu dalam jumlah yang sedikit.

“Disebabkan itu jangan marahkan kerajaan sekiranya berlaku masalah misalnya parit tersumbat dan sebagainya sebaliknya marahkan kepada orang yang membuang sampah ke dalamnya atau pencetus kepada masalah itu.

“Mungkin penduduk boleh mengambil tindakan menegur orang yang membuang sampah ataupun mengadakan gotong-royong membersih parit dan longkang itu sebagai jalan penyelesaian awal.

“Jangan menunggu sehingga banjir kilat berlaku barulah hendak membuat pelbagai aduan,” katanya.

Justeru, Talib menyifatkan tugas pemimpin akar umbi amat penting sebagai benteng hadapan untuk membantu kerajaan menyelesaikan masalah penduduk dan memajukan kampung atau kawasan kejiranan mereka.

“Dengan pemberian bantuan oleh kerajaan itu pula, ia merupakan satu galakan kepada penduduk agar terus berusaha memajukan diri dan kawasan mereka,” jelasnya.

Manakala untuk pemimpin peringkat akar umbi pula katanya, mereka boleh memberikan khidmat dengan penuh dedikasi dan demokrasi untuk anak-anak buah di bawah pimpinan mereka.

Katanya, jangan terikut-ikut dengan pihak yang suka berdemonstrasi sehingga mengucar-kacirkan keamanan sesebuah tempat seperti apa yang berlaku di beberapa negara di Timur Tengah.

Turut hadir Pegawai Daerah Bintulu Tuah Suni dan Penghulu Chabi Nangup.