JAS bersedia hadapi jerebu

0

JEREBU MELANDA: Keadaan penglihatan pada sebelah pagi di sebahagian daripada bandar raya Kuching (kiri) dan bandar Sibu yang mula dilanda jerebu semalam.

Pemantauan melalui udara dibuat jika IPU cecah paras tidak sihat

KUCHING: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sarawak kini bersiap sedia dari segi pemantauan bagi menghadapi situasi jerebu di negeri ini.

Menurut jurucakap JAS, persediaan itu termasuk pemantauan melalui udara terutama jika situasi jerebu mencapai paras Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat iaitu 100 ke atas.

“Buat masa ini JAS cuma membuat rondaan melalui darat iaitu memantau jika ada pembakaran terbuka, kebakaran atau keadaan yang menjejaskan jarak penglihatan.

“Manakala dari segi pemantauan udara kami cuma bersiap sedia yang sememangnya dalam perancangan kami,” kata jurucakap berkenaan ketika dihubungi Utusan Borneo di sini, semalam.

Menurut beliau lagi, sehingga Khamis lepas, Sarawak menyaksikan sebanyak 34 titik panas di seluruh negeri.

Katanya sehingga kini, jabatan belum lagi menerima sebarang aduan berkaitan pembakaran terbuka daripada orang awam.

Beliau menjelaskan namun keadaan (sehingga jam 11 semalam) masih berada dalam terkawal kerana rata-rata daripada 10 stesen pengawasan IPU yang ada masih di bawah IPU 100.

Sementara itu sehingga jam 11 semalam laman sesawang JAS menunjukkan bacaan IPU tertinggi berlaku di Sibu iaitu mencapai 98, diikuti Kuching (96), Sri Aman (95) dan Samarahan dengan bacaan IPU 94.

Manakala di Bintulu mencatatkan bacaan 70, Kapit (64), Sarikei (61), Miri (57), ILP Miri (52) dan Limbang (47).

Menurut JAS, bacaan IPU 0-50 dikategorikan sebagai baik, 51-100 adalah sederhana, 101-200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat dan 301 dan ke atas adalah berbahaya.

Sementara itu di Sibu, cuaca panas yang melanda sejak awal minggu ini telah menyebabkan bandar berkenaan diselubungi keadaan berjerebu.

Berdasarkan bacaan IPU oleh Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak, IPU di bandar ini mencatatkan bacaan 98 pada jam 11 pagi semalam, bacaan tertinggi berbanding bandar lain di Sarawak.

Pada jam 7 pagi, IPU yang diperolehi oleh JAS mencatatkan bacaan 93, yang menunjukkan peningkatan menjelang tengah hari. Beberapa bandar lain turut menunjukkan bacaan sederhana.

Tinjauan semalam mendapati orang ramai telah mula menggunakan topeng penutup mulut ketika berada di luar rumah berikutan keadaan jerebu yang agak teruk.

Bagaimanapun, keadaan itu tidak menghalang orang ramai, terutama dalam membuat persiapan Hari Raya yang akan disambut oleh umat Islam minggu depan.

Beberapa batang jalan terutama di pusat bandar, kelihatan sesak dengan kenderaan terutama di Jalan Channel, Jalan Central dan Jalan Kampung Nyabor.

“Hari Raya tinggal beberapa hari lagi. Kita tidak boleh menunggu pada saat-saat akhir untuk membuat persiapan. Selepas ini kami akan sibuk berada di dapur membuat persiapan raya,” ujar seorang pelanggan yang hanya ingin dikenali sebagai Nora.

Dengan memakai topeng penutup mulut, Nora memberitahu keadaan jerebu yang melanda bandar ini sedikit sebanyak menjejaskan persediaan beliau menyambut Hari Raya.

“Jika bukan kerana Hari Raya, saya pasti tidak akan keluar rumah,” katanya sambil menambah keadaan di luar agak panas serta mudah meletihkan, lebih-lebih lagi ketika bulan Ramadan.