Wang pendahuluan PTPTN penyelesaian kepada pelajar tiada wang untuk masuk IPTA

0

GUNA BAIK-BAIK: Wan Junaidi menyerahkan wang pendahuluan kepada salah seorang penerima. Turut kelihatan (dari kiri) Dr Rahman dan Dr Hazland.

KUCHING: Skim wang pendahuluan pinjaman pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dilihat sebagai jalan penyelesaian kepada pelajar yang mengalami masalah untuk mendapatkan sumber kewangan yang mahu mendaftar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini.

Menurut Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dengan wang pendahuluan itu, pelajar mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk mendaftarkan diri ke IPTA.

“Skim ini dilihat sebagai satu langkah yang baik untuk menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi pelajar terutamanya yang baru mendaftar diri ke IPTA,” katanya pada majlis penyerahan wang pendahuluan kepada pelajar bagi kawasan Santubong di sini semalam.

Dalam majlis itu, seramai 186 pelajar menerima wang pendahuluan daripada PTPTN sebagai wang saku untuk mendaftarkan diri ke IPTA yang ditawarkan.

Pada masa yang sama, beliau yang juga Ahli Parlimen Santubong menyeru pihak PTPTN mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk memberi wang pendahuluan kepada pelajar di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang tidak berkemampuan.

Jelasnya, ia adalah langkah yang baik untuk memberi sumber kewangan yang sama rata kepada pelajar yang tidak berkemampuan.

“Saya lihat banyak pelajar di IPTS terutamanya golongan Bumiputera menghadapi masalah kewangan, jadi dengan cadangan ini saya yakin ia dapat memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk mendaftar diri ke IPTS bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Tambahnya, beliau akan membawa cadangan itu kepada Perdana Menteri supaya ia dapat direalisasikan di negara ini.

Hadir sama ADUN Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi dan ADUN Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni.