Wednesday, February 19

Jangan sengaja undang padah!

0

KOTA KINABALU: Jangan berlagak pakar dan membuat penyambungan elektrik sendiri, pesan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Panglima Lajim Ukin.

Lajim dan isteri, Datin Seri Normilah Siong menyerahkan sumbangan raya kepada salah seorang anak yatim dari kawasan Sembulan disaksikan Nordin.

Katanya, memasang lampu perhiasan misalnya adalah kelaziman di musim perayaan tetapi orang ramai seharusnya tidak membuat pemasangan sendiri sebaliknya menggunakan khidmat individu terlatih.

Katanya, ia bukan sahaja boleh mengelakkan bencana malah langkah terbabit juga mampu menyelamatkan nyawa.

Ini kerana, tambahnya, kecuaian manusia adalah antara punca utama kepada kejadian tidak diingini seperti kebakaran yang kerap berlaku di Sabah sejak akhir-akhir ini.

“Bukan sahaja membuat penyambungan haram, malah penggunaan tenaga yang melampaui keupayaan peralatan juga boleh menyumbang kepada berlakunya kebakaran.

“Selain itu, penggunaan peralatan yang tidak mengikuti piawaian juga menyumbang kepada berlakunya kejadian tidak diingini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan sumbangan raya kepada kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta anak-anak yatim dari Sembulan, di Balai Bomba dan Penyelamat Kolombong, di sini, pada Jumaat.

Justeru, Lajim meminta orang ramai berhati-hati dan tidak menggunakan kepakaran sendiri untuk membuat penyambungan melibatkan barangan elektrik sebaliknya mendapatkan khidmat kontraktror bertauliah.

Sementara itu, beliau turut memuji kesediaan Pengarah Bomba dan Penyelamat Sabah, Nordin Pauzi, serta beberapa pegawai bomba yang mengorbankan cuti mereka untuk bertugas pada Hari Raya.

Katanya, tindakan itu membuktikan bahawa jabatan ini benar-benar mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia berbanding keperluan diri mereka sendiri.

“Ini menunjukkan bahawa JBPM amat mendukung konsep rakyat didahulukan dengan mengutamakan tugas mereka pada musim perayaan seperti ini,” katanya.

Di samping itu, beliau berkata penggunaan kemudahan pemgangkutan awam boleh mengurangkan kemalangan jalan raya pada musim perayaan.