Sunday, January 19

Susulan larangan penjualan Colour Crystal Ball kerana memudaratkan kanak-kanak

0

SUMBANGAN ... Rosnah (dua kanan) memperhatikan Juil menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima di Kampung Gana Papar.

Patuhi pengharaman: Rosnah

KOTA KINABALU: Peniaga yang menjual produk Colour Crystal Ball diminta mematuhi pengharaman bahan berkenaan atau berhadapan tindakan keras daripada kerajaan terutamanya pada musim perayaan Aidilfitri ini.

Ini berikutan produk terbabit telah dikenal pasti membawa kemudaratan malah mengundang kematian pada golongan anak-anak kecil sekiranya tertelan dan sehubungan itu para peniaga diminta bekerjasama untuk mematuhi amaran kerajaan berhubung pengharaman Colour Crystal Ball yang berkuatkuasa pada 25 Ogos lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berasa kesal kerana produk Colour Crystal Ball masih dijual di pasaran meskipun sudah diharamkan dan meminta agar para peniaga memainkan peranan secara menyeluruh.

“Baru-baru ini, kerajaan telah mengumumkan larangan penjualan Colour Crystal Ball yang digunakan secara meluas sebagai perhiasan rumah kerana ia memudaratkan malah membawa maut sekiranya ditelan.

“Kita amat kesali perkara ini kerana produk berkenaan mampu mengundang kemudaratan. Oleh itu, kita meminta para peniaga supaya tidak mengaut keuntungan tanpa memikirkan keselamatan melalui penjualan Colour Crystal Ball.

“Jika mereka gagal mematuhi peraturan dan terus menjual produk ini, mereka bakal diambil tindakan mengikut peraturan kementerian berkaitan,” katanya sambil menambah pihaknya akan berkerjasama dengan pihak berkaitan terutama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Rosnah berkata, Kementerian Kesihatan telah sedikit terganggu dengan perkara ini dan sudah tiba masanya produk Colour Crystal Ball diharamkan kerana jelas membawa impak negatif kepada faktor kesihatan dan pemakanan terutama kanak-kanak seperti mana dilaporkan oleh beberapa hospital di Semenanjung Malaysia.

“Pada peringkat kementerian, kita ada jabatan yang bertanggungjawab untuk menangani masalah ini dan dari pihak pengeluar memberi bentuk notifikasi berhubung produk berkenaan,” katanya.

Jelasnya, berkemungkinan produk itu masuk ke dalam negara ini tanpa melalui kaedah-kaedah telus dan kerana itulah penjualan terbabit berlaku.

“Namun kita harus tolak ke tepi penjualannya terdahulu, kerana menteri perdagangan sudah mengambil tindakan setepatnya dan para peniaga yang gagal mematuhi peraturan akan didakwa sekeras-kerasnya,” ujarnya.

Menurut Rosnah, sekiranya perkara ini mengundang kehilangan nyawa, maka para peniaga perlu didakwa di bawah akta jenayah.

“Harus diambil tindakan, bukan sahaja tindakan sivil malah jenayah kerana sudah diberi amaran namun tidak mahu mematuhinya.

“Kita melihat perkara ini cukup serius, kita tidak mahu ambil kesempatan. Jangan ambil kecetekan pengetahuan masyarakat umum berhubung produk-produk yang tidak selamat seperti mana pengharaman Colour Crystal Ball,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis berbuka puasa bersama golongan Mualaf Muslim Parlimen Papar di Kampung Gana, Papar Jumaat lepas.

Seramai 68 saudara baru diraikan dengan menerima sumbangan Aidilfitri di majlis berkenaan yang disampaikan oleh Rosnah dan pemimpin setempat.

Mengulas lanjut cara menangani hal demikian, Rosnah yang juga Ketua Puteri Umno Malaysia berkata kementeriannya akan mempertimbangkan inisiatif dengan mengadakan seminar atau ceramah mengenai pendedahan bahaya produk-produk kurang selamat digunakan khususnya kepada golongan ibu bapa dari masa ke semasa.

“Ibu bapa turut memainkan peranan penting dalam hal ini terutama musim perayaan Aidilfitri di mana kanak-kanak terdedah kepada bahaya dan kemudaratan permakanan serta produk yang menarik untuk ditelan.

“Oleh itu, kita memohon semua bekerjasama bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku seperti mana kes-kes tertelah Colour Crystal Ball ini,” katanya.

Terdahulu Menteri KPDNKK , Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan bahawa produk Colour Crystal Ball dilarang penjualannya kerana dikenal pasti memudaratkan.

Katanya, meskipun kandungan kimia dalam Colour Crystal Ball adalah di tahap selamat, namun produk berkenaan mampu mengembang 290 hingga ke 444 peratus selepas menyerap air selama dua jam.

Tambahnya, kanak-kanak yang tertelan Colour Crystal Ball akan mengalami tanda-tanda seperti muntah, demam, sembelit, perut kembung, sakit perut, usus tersumbat dan paling serius sekali adalah usus pecah.

”Saya menasihatkan orang ramai yang mempunyai produk ini supaya segera membuangnya, ia adalah berbahaya terutama kepada kanak-kanak di bawah umur lima tahun.

”Bagi peniaga pula, mereka tidak lagi dibenarkan menjual produk ini atau berdepan risiko denda RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama mengikut Akta Perlindungan Pengguna,” katanya.

Kebanyakan masyarakat umum akan meletakkan produk ini sebagai perhiasan di pasu bunga dan ia mendorong kanak-kanak terutama bawah lima tahun menelannya kerana menganggapnya sebagai gula-gula.

Tinjauan Utusan Borneo ke beberapa pusat membeli belah di sekitar ibu negeri kelmarin turut mendapati masih ramai yang gagal mematuhi larangan berkenaan kerana masih giat menjualnya terutama di cawangan penjualan barangan perhiasan terutama Aidilfitri bakal berkunjung tiba pada minggu hadapan.