Taktik memasuki rumah kosong tatkala tuan rumah balik kampung sempena Aidilfitri tidak menjadi

0

Inilah kediaman mangsa yang telah dipecah masuk dalam kejadian berkenaan malam semalam.

Dua penyamun berjaya ditangkap orang awam

KOTA KINABALU: Taktik licik para pencuri memecah masuk kediaman kosong tatkala musim ‘balik kampung’ bersempena Aidilfitri nampaknya tidak menjadi setelah dua daripada ahli kumpulan samun berjaya ditangkap oleh orang awam dalam satu kejadian di Taman Kingfisher, Likas pada malam Sabtu lepas.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Sofi Zakaria berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam yang mengatakan dua lelaki tempatan berjaya diberkas kerana dipercayai mengadakan aktiviti samun ke salah sebuah kediaman di taman perumahan berkenaan kira-kira jam 7.30 malam.

“Kita menerima maklumat mengenai ada kejadian pecah rumah di lokasi terbabit dan sekumpulan anggota dikerahkan ke tempat itu.

“Orang awam di perumahan terbabit difahamkan telah berjaya menangkap dua daripada tiga atau empat ahli kumpulan mereka yang dipercayai lelaki tempatan berusia lingkungan 20 hingga 24 tahun.

“Siasatan awal mendapati salah seorang suspek yang ditangkap oleh orang awam itu mempunyai rekod jenayah samun.

“Kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda jika sabit kesalahan,” katanya ketika dihubungi.

Pihaknya kini sedang giat menjalankan siasatan secara terperinci dan operasi mencari suspek yang turut terlibat dalam insiden pecah rumah itu.

Terdahulu, menurut jiran rumah mangsa yang menyaksikan kejadian berkenaan berkata pada ketika itu, mereka sedang sibuk melakukan persiapan menghias rumah dan salah seorang ahli keluarga telah terlihat ada kelibat mencurigakan di lokasi berkenaan.

“Kami difahamkan bahawa ketika itu jiran tidak berada di rumah, malah anak dan isterinya pun sudah balik ke kampung mereka di Beaufort untuk meraikan Hari Raya di sana.

“Pada waktu kejadian, salah seorang ahli keluarga telah melihat ada sekumpulan lelaki berada di sekitar rumah jiran kami itu dan dia (ahli keluarga) pun pergi menyuluhkan lampu ke arah kediaman berkenaan dan menjerit ada pencuri di situ sehingga menyebabkan mereka bertempiaran lari,” katanya.