Empat pemandu mabuk dikenakan hukuman

0

KOTA KINABALU: Empat lelaki dijatuhkan hukuman denda atau penjara oleh Mahkamah Majistret di sini kelmarin atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk. Penolong Pendaftar Mahkamah Korventt Wheezar E Jomiji yang bertindak sebagai majistret menjatuhkan hukuman itu terhadap Chu Yee Chung, 26, Stephen Lian Joon Leong, 21, Johanne Tony Janip, 31, dan Lawatan Amping, 23.

Chu dikenakan denda RM3,500 atau penjara dua bulan, Stephen dan Johanne masing-masing didenda RM2,000 atau penjara 30 hari. Manakala Lawatan didenda RM3,000 atau dua bulan penjara.

Atas kesalahan itu, mereka yang tidak diwakili peguambela didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak melebihi RM6,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan.

Chu dan Stephen melakukan kesalahan itu pada 10 November tahun lalu dan 23 Julai tahun ini. Kesalahan itu masing-masing dilakukan di Jalan Lampu Isyarat Pahlawan Kota Kinabalu dan Jalan Kota Kinabalu ke Penampang dekat SMK Bahang, Penampang.

Sementara itu, Johanne dan Lawatan masing-masing melakukan kesalahan itu pada 13 Ogos dan 1 Ogos lalu di Jalan Bundusan dekat restoran May Flower, Penampang, dan Jalan Papar Lama dekat Zoo.

Lawatan memandu dengan kandungan alkohol lebih 154 mg, Johanne lebih 67mg, Stephen lebih 9mg, dan Chu lebih 184mg. Semua mereka didapati memandu dengan kandungan alkohol lebih dalam 100ml darah.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki tidak mengaku bersalah atas pertuduhan memandu dengan tidak memakai tali pinggang keselamatan kenderaan.

Untuk itu, mahkamah menetapkan pada 5 September depan sebagai sebutan semula kes terhadap Dullib Tiaseh@ Tiasi, 56.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada 28 Julai lalu jam 12.35 tengah hari di Jalan Sulaman Universiti Apartment, dekat sini.

Atas pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 119 (2) Akta Pengangkutan jalan 1987 (Akta 333/87) yang boleh dibaca bersama Seksyen 128 (2) akta sama.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM300 yang dicagarkan oleh seorang penjamin tempatan.

Sementara itu, mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap dua lelaki, Drexler John, 23, dan Dacini Nasip@ Jouney, 34, setelah tidak hadir di mahkamah kelmarin.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 45 A (1) Akta pengangkutan Jalan 1987.