MAYAT BAYI LELAKI DIJUMPAI DI BAWAH TONG SAMPAH

0

Kelihatan beg plastik yang disimpan mayat bayi

SANDAKAN: Mayat seorang bayi lelaki dijumpai oleh seorang tukang sapu dalam sebuah beg plastik yang disorok di bawah tong sampah berhadapan dengan sebuah pasaraya berhampiran bazar Ramadan di pusat bandar petang Isnin.

Tukang sapu berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Hajijah memberitahu sekitar jam 2.30 petang dia telah ternampak satu beg plastik yang dikerumuni lalat di kawasan pembuangan sampah hadapan pasaraya itu.

”Saya ingat dalam beg plastik itu bangkai kuching yang dibuang di bawah tong sampah besar berkenaan,” katanya ketika ditemui.

Hajijah amat terkejut apabila mendapati terdapat satu mayat bayi lelaki ketika membuka beg plastik itu. Dia telah mendapatkan bantuan orang ramai untuk menghubungi pihak polis berhubung penemuan mayat bayi berkenaan.

Katanya, mayat bayi yang masih bertali pusat itu kelihatan gemuk dan telah mempunyai rambut serta memiliki kulit cerah.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Superintendan Fadzil Mohd Ali ketika mengesahkan kejadian itu berkata pihaknya yang menerima maklumat berhubung penemuan itu telah pergi ke lokasi penemuan.

“Mayat bayi lelaki berkenaan kemudiannya dihantar ke Hospital Duchess of Kent untuk dibedah siasat,” katanya.

Tambahnya, pihaknya akan menjalankan siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes pembuangan bayi agar menyalurkan maklumat kepada pihaknya di balai polis berhampiran atau menghubungi talian 089-212222 dan 089-242222.

Kelihatan beg plastik yang disimpan mayat bayi