Terminal Bas Utara Inanam sesak penumpang

0

ASYIK...kelihatan penumpang bas sedang menyimpan bagasi mereka di tempat penyimpanan bagasi bas.

KOTA KINABALU: Keadaan di Terminal Bas Utara Inanam sesak dengan penumpang yang menunggu giliran menaiki bas ekspres untuk balik kampung bagi menyambut Hari Raya.

Presiden Bas Ekspres Sabah (SEBOC), Donald Hanafi mengakui bahawa bas ekspres yang sedia ada memang tidak cukup untuk menampung penumpang yang ingin balik kampung terutamanya pada dari tarikh 27, 28 dan 29 Ogos ini.

Katanya, walaupun pada ketika ini bas ekspres adalah sejumlah 220 buah tetapi semuanya juga penuh. Walaupun sudah meminta penambahan sebanyak 10 buah bas pada malam Ahad lalu namun masih tidak mencukupi.

“Saya nampak semalam (malam Ahad) ramai orang yang terpaksa menunggu giliran dari malam hingga ke pagi…semua bas ekspres penuh dan sehingga jam 2 petang ini, bas masih penuh dan penumpang semakin bertambah berserta dengan bagasi mereka.

“Saya jangkakan ada dalam kalangan mereka yang menunggu bas di terminal ini akan menyambut Hari Raya pertama mereka di terminal ini kerana bas tidak mencukupi,” katanya kepada Utusan Borneo ketika ditemui di sini kelmarin.

Donald berharap penambahan 10 buah bas bertingkat pada tahun depan mampu mengatasi masalah kekurangan bas ini.

Menurutnya, satu perbincangan sedang diadakan dengan timbalan persiden SEBOC agar boleh menggunakan bas persiaran bagi mengatasi masalah itu buat sementara waktu.

Beliau juga menyatakan bahawa di Sabah tidak wujud masalah tiket seperti ulat tiket, pemalsuan tiket dan sebagainya khususnya di terminal bas ekspres Inanam.

“Sebagai presiden, saya sentiasa memantau kesemua 21 kaunter tiket di sini di mana tiket yang dijual adalah sah dan dikeluarkan oleh pengusaha sendiri. Tinjauan yang dibuat dari 26 hinggalah 29 Ogos…kesemua tiket yang dijual adalah sah,” katanya.

Donald juga menyeru kepada  timbalan persiden SEBOC agar menempah bas bertingkat dan dia bersetuju untuk menempah sebanyak dua atau tiga buah bas ini sebagai permulaan.

Tambahnya, semua pengusaha bas harus mengutamakan keselesaan penumpang terutamanya kebersihan tandas kerana pengeluaran bau tandas dalam bas akan menyebabkan ketidakselesaan kepada penumpang.

“Saya juga menekankan kepada semua pemandu bas expres ini agar mengutamakan disiplin…ini bermakna jika tiba masanya untuk berehat maka dia kenalah berehat, bila tiba masa dia kena digantikan dengan pemandu kedua dia kenalah ganti, keselamatan diutamakan.

“Di Sabah, kita tidak pernah menghadapi kemalangan jiwa yang teruk, kalau ada pun adalah melibatkan pelanggaran yang kecil, dan kebanyakan kesalahan itu dilakukan oleh pengguna jalan raya yang lain dan bukannya bas ekspres.

“Saya mengakui bahawa sepuluh tahun yang lalu bas bertingkat adalah tidak selamat kerana ia tinggi tetapi kini ia direka dengan teknologi moden yang dapat mengimbangkan bas ini dengan keadaan jalan di Sabah,” katanya.

Tambahnya, bas bertingkat yang dulu adalah tinggi sekaki berbanding yang sekrang rendah sebanyak sekaki setengah. Bas bertingkat di Semenanjung adalah tinggi berbanding di Sabah yang direka khas untuk muka bumi perjalanan di sini.

Donald berkata, selepas pelancarannya pada 26 ogos lalu, pihaknya menerima banyak pujian daripada pelanggan kerana mereka puas hati dengan kestabilan pergerakan bas ini ketika dinaiki.

“Sempena Hari Raya Aidilfitri ini, saya sebagai Presiden SEBOC berharap perjalanan bas ekspres balik kampung ini selamat tanpa ada apa-apa kemalangan. Saya juga berharap semua pemandu bersabar dan bertimbang rasa ketika memandu,” katanya.

MENUNGGU...antara penumpang bas ekspres yang sedang menunggu giliran mereka menaiki bas untuk balik kampung