Tuesday, July 7

BSM Sarikei anjur kursus pertolongan cemas di Rumah Banta 3 September

0

SARIKEI: Bulan Sabit Merah Malaysia (BSM) cabang Sarikei akan menganjurkan Kursus Pertolongan Cemas Komuniti (CFAS).

Program ini akan diadakan bertempat di Rumah Banta, Rantau Sukat, Brayang Roban pada 3 September ini.

Objektif program ini diadakan adalah bertujuan untuk meningkatkan tahap pengetahuan pertolongan cemas asas di kalangan ahli keluarga rumah panjang.

Di samping itu juga ia bertujuan untuk melahirkan ahli keluarga yang boleh menangani dan bertindak semasa kecemasan berlaku.

Melalui program ini para peserta yang terdiri daripada masyarakat rumah panjang akan didedahkan dengan perkara seperti objektif pertolongan cemas, prinsip asas pertolongan cemas, garis panduan asas pertolongan cemas serta perkara yang berkaitan dengan peralatan kotak pertolongan cemas.

Peserta yang mengikuti kursus ini juga nanti akan didedahkan dengan jenis-jenis luka, pendarahan dan kecederaan mengikut peringkat-peringkatnya, di samping menerangkan kepada masyarakat tentang cara untuk merawat setiap kecederaan itu berdasarkan kadar keseriusan kemalangan yang dihadapi oleh mangsa.

Pada masa yang sama juga peserta akan didedahkan dengan slot tayangan video berkenaan dengan situasi-situasi kemalangan yang besar risikonya berlaku di kawasan rumah panjang dan cara untuk mengendalikan rawatan peringkat awal sebelum ia dirawat di hospital yang berdekatan.

Kursus ini nanti akan dikendalikan oleh jurulatih dari BBSM yang terlatih.

Program ini nanti akan dilangsungkan bermula dari jam 7 pagi dan akan tamat pada jam 11 pagi dan setiap peserta yang mengikuti kursus ini nanti akan memperolehi sijil kehadiran daripada pihak BSMM.

Sehubungan dengan itu, masyarakat di kawasan rumah panjang berkenaan diminta agar hadir tepat pada masa yang telah ditetapkan agar segala program yang telah dirancang itu dapat berjalan dengan lancar dan tepat pada waktunya.