Program pembangunan dipergiat

0

Bagi menjadikan negeri Sabah tempat yang terbaik dan selesa untuk didiami rakyat, kata Musa

 

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman berkata kerajaan negeri terus melipatgandakan lagi usaha untuk membawa pembangunan ke seluruh pelosok negeri.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak mahu berlaku sebarang kelewatan dalam menyiapkan sesuatu projek, terutama yang memberikan impak secara langsung kepada rakyat seperti jalan raya dan sekolah.

“Menerusi Koridor Pembangunan Sabah (SDC), beberapa projek sedang berjalan lancar bagi membolehkan kita merapatkan jurang “pembangunan di negeri ini,” katanya dalam perutusan sempena Hari Kemerdekaan Ke-54.

Musa berkata sejak beberapa tahun lalu, pelbagai program pembangunan terus dipergiatkan oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan bagi menjadikan negeri ini tempat yang terbaik dan selesa untuk didiami.

“Kita menyedari betapa pentingnya usaha untuk merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan pedalaman, yang terus menjadi keutamaan kita untuk memastikan pembangunan secara holistik,” katanya.

Dalam konteks ini juga, kata Musa, Sabah komited untuk mengurangkan lagi kadar kemiskinan menerusi pelaksanaan beberapa projek, membina lebih banyak rangkaian jalan raya dan infrastruktur penting seperti sekolah, di samping meningkatkan lagi kecekapan perkhidmatan bekalan elektrik dan air di kawasan luar bandar.

Beliau juga menekankan bahawa kestabilan politik merupakan faktor yang amat penting dalam memastikan kejayaan dan kesinambungan pembangunan.

Katanya, setiap program yang dirancang oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan memerlukan kestabilan yang kukuh dan kerjasama yang padu daripada semua parti komponen Barisan Nasional (BN).

“Saya sering mengingatkan kepada semua wakil rakyat supaya kerap turun padang untuk mendengar dan merasai denyutan nadi rakyat, mengenalpasti dan seterusnya membantu menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.

Beliau juga menyeru semua pihak untuk terus bekerjasama dan berganding bahu bagi sama-sama membawa lebih banyak pembangunan kepada negeri dan rakyat.

“Kurangkan berpolitik kerana kita mempunyai banyak tugas dan tanggungjawab yang memerlukan fokus dan tumpuan kita sepenuhnya,” katanya.

Musa berkata, sempena Hari Kemerdekaan ini, rakyat Malaysia di Sabah akan terus menyumbang ke arah menjayakan pembinaan negara bangsa.

“Perpaduan dan kesatuan adalah cara hidup dan budaya kita seiring dengan semangat 1Malaysia. Kita perlu terus berganding bahu dan mengukuhkan perpaduan yang telah kita bina lebih 50 tahun yang lalu.

Sebagai rakyat yang matang, Kita perlu berusaha menyelesaikan apa juga isu yang menyentuh sensitiviti mana-mana pihak di negara kita.

Persefahaman dan kecintaan kita kepada negara mestilah diutamakan apabila berhadapan dengan isu-isu yang mencabar terutama berkaitan hubungan antara kaum,” katanya.

Di samping itu, tambahnya, rakyat mesti sentiasa mengenang dan menghargai jasa dan pengorbanan para pemimpin dan pejuang terdahulu dalam mencapai kemerdekaan.

Katanya, rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang perlu terus memelihara hubungan baik dan mengelakkan diri daripada membangkitkan isu-isu yang boleh menjejaskan keharmonian sesama kita.

Nilai-nilai yang positif seperti hormat-menghormati dan konsep penerimaan perlulah terus dibudayakan bagi memacu kita menikmati kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan.

Musa berkata, perayaan Ulangtahun Kemerdekaan negara yang ke-54 merupakan perayaan berganda bagi rakyat Malaysia, kerana sambutan kemerdekaan kali ini serentak dengan Hari Raya Aidilfitri.

“Ia adalah perayaan untuk  kita saling bertukar-tukar ucapan salam dan kunjung mengunjungi antara satu sama lain. Marilah kita memanfaatkan kesempatan ini untuk turut mengucapkan salam kemerdekaan dengan rakan-rakan semasa menghadiri rumah terbuka Hari Raya,” katanya.

Musa berkata, sejak 54 tahun yang lalu, rakyat telah menikmati kehidupan yang aman dan harmoni hasil daripada nikmat kemerdekaan negara.

“Kita terus berjaya sebagai sebuah negara yang berupaya menggembleng kekuatan dan nilai-nilai positif dalam kalangan rakyat, tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

“Kita terus komited bagi memacu negara menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dengan mengambil kira kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

“Hari ini banyak negara menjadikan kita sebagai model dari segi kepesatan pembangunan dan perpaduan rakyat meskipun terdiri daripada berbilang kaum dan etnik,” katanya.

Musa berkata, sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya berbangga dengan pemimpin kita kerana meskipun trend global, serantau dan tempatan semakin mencabar, kerajaan terus berupaya memastikan pembangunan dan kemajuan negara berada pada landasan yang betul.

Katanya, pelaksanaan beberapa inisiatif seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Model Baru Ekonomi (NEM) adalah seiring dengan perkembangan ini.

Tambahan pula, katanya, kerajaan telah pun memperkenalkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), yang membuktikan kesungguhan kerajaan untuk menangani isu-isu yang memberikan impak dalam kehidupan seharian rakyat.

Dalam konteks ini, Kerajaan Negeri akan memberikan sepenuh komitmen dan sokongan kepada Kerajaan Persekutuan bagi menjayakan inisiatif berkenaan sesuai dengan kepentingan rakyat yang sentiasa menjadi keutamaan.

Sempena hari kemerdekaan ini, Musa mengajak rakyat sama-sama merakamkan rasa penghargaan dan terima kasih kepada anggota pasukan keselamatan.

“Mereka terus gigih mencurahkan khidmat bakti di seluruh negara dan berjauhan dari kampung halaman dan keluarga demi melaksanakan kewajipan dan tanggungjawab untuk memelihara keamanan, kedaulatan dan ketenteraman negara kita yang tercinta ini.

Bersempena sambutan ulangtahun kemerdekaan negara pada ke-54,  beliau juga mengajak rakyat berikrar untuk terus memartabatkan kecemerlangan negara dengan semangat perpaduan dan kesatuan yang jitu.

Kepada seluruh rakyat Malaysia terutama di Sabah, beliau mengucapkan “Selamat Merayakan Hari Kemerdekaan.”