Belia Kampung Muhibbah jayakan tadarus Khatam Al-Quran

0

SRI AMAN: Seramai 44 orang belia dari Kampung Muhibbah, Sri Aman telah menyertai Majlis Bertadarus Khatam Al-Quran anjuran Jawatankuasa Masjid Darul Syakirin, Kampung Muhibbah bertempat di kampung berkenaan dekat sini baru-baru ini.

Ahli Jawatankuasa Masjid, Ramli Abu Sera berkata, tujuan utama majlis tersebut diadakan adalah untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim di kalangan umat Islam ketika menyambut bulan Ramadan.

Di samping itu juga, majlis yang dianjurkan ini juga diharapkan dapat mendekati ajaran ajaran agama Islam secara lebih mendalam melalui aktiviti bertadarus.

“Program seperti ini secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada umat Islam khususnya di Kampung Muhibbah ini supaya dapat memupuk sifat mulia dan bertanggungjawab terhadap ajaran agama Islam dalam diri masing-masing,” ujarnya ketika ditemui Utusan Borneo dekat sini baru-baru ini.

Justeru itu katanya, adalah menjadi harapan agar aktiviti seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa-masa yang akan datang dan memberi peluang kepada golongan belia Islam mempelajari ajaran agama Islam dengan lebih mendalam.

Terdahulu, majlis penyampaian sijil kepada para peserta majlis bertadarus khatam Al-Quran ini telah disempurnakan oleh Pengerusi Masjid Darul Syakirin, Yak Ahmad.

Turut hadir sama menyaksikan majlis berkenaan, Imam I Masjid Darul Syakirin dan dua orang Guru Tadarus iaitu Hamali Jol dan Kipli Serot.