PBB tampilkan tokoh muda

0

MERIAH: Abang Johari serta isteri Datin Amar Juma’ani Tuanku Bujang (kiri) menyambut ketibaan tetamu yang berkunjung ke majlis rumah terbuka di kediaman mereka di Petra Jaya, Rabu lepas.

Ia merupakan kesinambungan untuk letak orang muda supaya mereka dapat ambil tempat pemimpin hari ini

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), parti kompenan Barisan Nasional (BN) terbesar di Sarawak membayangkan parti itu turut menampilkan tokoh-tokoh muda untuk diketengahkan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, bagaimanapun perkara itu kini masih dalam penilaian dan hanya akan diputuskan selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti diadakan.

“Memang kita dalam perancangan untuk melihat prestasi Ahli-ahli Parlimen kita dan mungkin ada perubahan termasuk muka baru.

“Bagi PBB kita sekarang sedang membuat penilaian (mengenai calon) dan keputusan akan dibuat selepas kita menerima pandangan hasil mesyuarat MKT sebelum pilihan raya umum bersama presiden, timbalan presiden dan ahli MKT untuk memutuskan siapa calon,” katanya.

Abang Johari memberitahu demikian kepada pemberita pada majlis rumah terbuka beliau di kediamannya di Petra Jaya di sini pada raya kedua, Rabu lepas.

Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar berkata, waktu ini adalah terlalu awal untuk parti memutuskan siapa yang akan menjadi calon bagi kerusi-kerusi PBB pada PRU Ke-13 yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Menurut beliau, ia sama seperti pilihan raya negeri pada 16 April lalu, di mana parti meletakkan ramai calon baru.

“Ia adalah proses kepimpinan parti dan kesinambungan untuk meletakkan orang muda supaya mereka ini dapat mengambil tempat pemimpin yang sedia ada pada hari ini,” tegasnya.

Beliau memberitahu parti memerlukan pemimpin yang berkaliber dan mempunyai pengalaman dalam menghadapi cabaran pada masa akan datang yang disifatkan lebih rumit.

“Ia bermakna kita berkehendakan input-input baru khususnya bagi membolehkan kita memenuhi keperluan orang-orang muda,” tegasnya sambil berkata, Sarawak yang mempunyai lebih kurang 60 peratus penduduk di bawah usia 50 tahun.

Sementara itu, baru-baru ini akhbar menyiarkan, Dato Sri Mahmud Abu Bekir Taib telah disebut-sebut akan menggantikan adiknya, Dato Sri Sulaiman Abdul Rahman Taib untuk bertanding di kerusi Parlimen Kota Samarahan pada pilihan raya umum kelak.

Mahmud, anak sulung Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, beliau sentiasa berminat dalam politik negeri ini.

“Saya sentiasa berminat dalam politik Sarawak tetapi tiada siapa yang memanggil saya lagi,” kata Mahmud memberitahu media pada majlis rumah terbuka Hari Raya bapanya yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, Selasa lalu.

Mahmud mendedahkan beliau sudah menjadi ahli PBB cawangan Kuching sejak berusia 19 tahun.

Minggu lepas, Naib Presiden Kanan PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan memberitahu Sulaiman tidak akan mempertahankan kerusinya pada pilihan raya Parlimen yang akan datang.

Sulaiman juga telah meletak jawatan sebagai Timbalan Menteri Pelancongan selepas ibunya Puan Sri Laila Taib meninggal dunia pada 29 April 2009.