Rakan sepemburuan mati tertembak

0

MIRI: Kegembiraan sekumpulan lapan penduduk rumah panjang yang pergi berburu di kawasan hutan berhampiran Sungai Denom, Suai pada petang Rabu lalu berakhir tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut setelah ditembak rakan sendiri.

Mangsa, Bakok Garai, 66, dari Rumah Emperang Bayuk, Suai, Niah meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian belakang kepala dan paha.

Menurut sumber, sekitar jam 1 petang, Rabu lalu, kesemua lapan sekawan terbabit dari rumah panjang yang sama telah keluar berburu ke sebuah kawasan hutan berhampiran Sungai Denom, Suai, yang mengambil masa satu jam berjalan kaki untuk masuk ke dalam hutan berkenaan.

Setiba di dalam hutan, mereka yang turut membawa bersama empat laras senapang patah telah berpecah kepada beberapa kumpulan dengan menuju arah berbeza.

Ketika sedang asyik berburu, salah seorang daripada mereka telah melepaskan satu das tembakan ke arah satu objek bergerak yang disangkanya binatang buruan.

Apabila diperiksa, alangkah terkejutnya apabila mendapati objek yang ditembak itu adalah rakan sendiri.

Semasa ditemui, mangsa yang berlumuran darah masih membawa bersama selaras senapang patah dan juga raganya yang berisi beberapa biji buah terap.

Sekitar jam 6 petang hari sama, satu laporan polis telah dibuat oleh tuai rumah dari rumah panjang terbabit di Balai Polis Batu Niah berhubung insiden tersebut.

Manakala mayat mangsa telah tiba di Hospital Miri pada jam 5.30 pagi semalam untuk proses bedah siasat.

Berikutan itu, polis telah menahan enam rakan sepemburuan mangsa untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan kes tersebut dan memburu suspek utama yang dipercayai melarikan diri