TPM sedih nahas jalan raya meningkat

0

Tidak sepatutnya berlaku kerana kerajaan telah adakan pelbagai kempen kesedaran

PAGOH: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin melahirkan rasa sedih dengan peningkatan jumlah kemalangan di jalan raya pada musim perayaan ini.

Beliau berkata, peningkatan itu terutama sekali di jalan-jalan negeri dan bandaran tidak sepatutnya berlaku kerana pelbagai kempen telah diadakan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai, sehingga Jabatan Keselamatan Jalan Raya ditubuhkan bagi menangani perkara itu.

Jumlah kes kemalangan jalan raya terutamanya yang melibatkan motosikal membimbangkan kerajaan, katanya.

“Saya rasa sedih.., paling banyak kes melibatkan motosikal. Kempen dah lama kita jalankan sehingga kita tubuhkan Jabatan Keselamatan Jalan Raya tetapi malangnya perkara ini masih berulang sama ada pada musim perayaan atau bukan musim perayaan,” katanya.

Muhyiddin diminta mengulas mengenai peningkatan kemalangan jalan raya pada musim perayaan ini semasa ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri beliau di Kompleks Seri Pekembar di sini semalam.

Sebanyak 15 kematian membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal dicatatkan pada hari kelapan Ops Sikap-24 kelmarin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan akan terus meneliti langkah terbaik bagi mengurangkan kadar kemalangan di negara ini dan meskipun langkah memperketatkan peraturan mungkin menerima bantahan banyak pihak.

Pengguna jalan raya, kata beliau boleh menyalahkan jalan yang berlubang-lubang atau sempit sebagai punca kemalangan namun ia boleh dielakkan jika mereka berhati-hati dan tidak memandu laju.

Justeru, Muhyiddin menasihati pengguna jalan raya agar lebih bertanggungjawab, menghargai nyawa, menghormati satu sama lain dan ingat kepada orang yang disayangi ketika memandu. — Bernama