Tumpu usaha daftarkan belia dahulu sebelum turunkan had umur mengundi

0

SANTUBONG: Semua parti politik dan agensi berkaitan harus memberi tumpuan untuk mendaftarkan belia yang berumur antara 21 dan 25 tahun dahulu sebelum membuat sebarang cadangan untuk menurunkan had umur mengundi kepada 18, kata Ketua Penerangan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Abdul Aziz Adenan.

Beliau berkata, terdapat berjuta pengundi yang masih belum berdaftar dalam kumpulan usia berkenaan walaupun had minimum yang sah untuk mengundi adalah pada usia 21 tahun.

Sehubungan itu, isu untuk menyedarkan golongan ini tentang kepentingan menjalankan tanggungjawab mereka di peti undi harus ditangani dahulu, katanya.

“(Ini) adalah agak mencabar, terutama untuk gene-rasi sekarang, yang dihujani dengan e-mel, laman sosial Facebook dan laman web, dengan maklumat yang kebanyakannya propaganda politik dari kedua-dua belah pagar, sama ada secara langsung atau halus,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri oleh Menteri Tugas-tugas Khas Sarawak Tan Sri Adenan Satem, di sini semalam.

Abdul Aziz berkata, terdapat juga keperluan untuk melihat kematangan politik pengundi berkenaan dari segi pengetahuan dan tanggungjawab untuk membuat pilihan mengundi terbaik.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah baru-baru ini berkata, perancangan atau roadmap perlu dimulakan untuk membolehkan rakyat Malaysia yang mencapai umur 21 secara automatik didaftarkan sebagai pemilih.

Saifuddin juga berkata, beliau juga menyokong untuk menurunkan had umur me-ngundi kepada 18 jadi dengan itu mereka yang berusia 18 tahun juga termasuk untuk pendaftaran secara automatik. — Bernama