Raja buah ‘bayangi’ sambutan Hari Raya Aidilfitri

0

Tumpuan kehangatan perayaan kini beralih ke lokasi lambakan buah durian dan langsat

KUCHING: Bahang kehangatan Hari Raya belum berakhir, namun mulai hari keempat sambutan perayaan ini semalam, masyarakat sudah mula teruja dengan lambakan buah durian di pasaran tempatan.

Jika sebelum ini, buah durian dijual pada harga yang agak tinggi, namun berlainan pula kini, ketika masyarakat masih dalam suasana perayaan, kelihatannya durian dijual pada harga yang jauh lebih rendah.

Seorang peniaga yang dikenali sebagai Adi, 37, dari Batu 7, Jalan Muara Tuang memberitahu, musim buah durian kali ini tepat pada masanya kerana masyarakat masih dalam suasana perayaan.

Ini secara tidak langsung memberikan sambutan yang menggalakkan kepada jualan buah durian serta buah-buahan lain seperti langsat.

“Buah-buah durian ini dibeli secara borong oleh saya dan abang ipar dari Kampung Taie, Tebakang dan Bantang dalam kawasan Serian untuk dijual di sini.

“Bukan sahaja murah, malah buah durian yang dibawa dari kawasan Serian ini amnya Kampung Taie, mempunyai rasa yang enak, isi tebal serta tidak buruk,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, abang iparnya, Ahseng, dari Kampung Gita memberitahu, Pasar Gita merupakan lokasi yang strategik untuk menjual durian pada waktu ini.

Katanya, populasi penduduk yang ramai serta bertepatan dengan musim perayaan yang belum ber-akhir, jualan durian pastinya mendapat sambutan untuk juadah seisi keluarga.

“Buah-buah ini kami ambil sendiri di Kampung Taie seawal pagi dan terus dibawa ke Pasar Gita ini untuk dijual kepada orang ramai terutama pengemar durian.

“Harganya adalah antara RM5 hingga RM10 sebiji mengikut saiz dan masih boleh ditawar mengikut budi bicara,” katanya.

Selain durian, buah langsat Indonesia turut dijual pada harga RM6 sekilogram yang dijamin manis serta enak.

Selain Pasar Gita, buah durian juga dilihat mulai dijual secara lambak di sekitar Pasar Satok dan lain-lain kawasan tumpuan orang ramai.

Musim durian yang pertama ini dijangka akan berterusan sehingga awal bulan Oktober dan dijangka akan menge-luarkan buah yang baru pada bulan selanjutnya, berlarutan hingga akhir tahun ini.