Monday, October 21

Tambah kerusi DUN, Parlimen

0

MESRA...Shafie (tengah) diiringi Rahim bersalaman dengan pengunjung ketika berangkat ke Masjid Daerah Papar untuk sembayang Jumaat selepas menghadiri rumah terbuka Aidilfitri kelmarin.

Setiap negeri mempunyai hak cadang persempadanan semula: Shafie

PAPAR: Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata setiap negeri mempunyai hak bagi menyuarakan atau mencadangkan persempadanan semula di sesuatu kawasan sama ada Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen

Bagaimanapun, ia masih memerlukan persetujuan daripada peringkat Parlimen dan apabila ia dikemukakan di Parlimen ia memerlukan keputusan dua pertiga majoriti untuk meluluskan cadangan terbabit.

“Pada pendapat saya, jika perkara ini mempunyai kepentingan dan keperluan dalam kerajaan negeri ia haruslah diselaraskan dengan kerajaan di peringkat pusat bagi memastikan apabila ia dibentangkan di Parlimen ianya mendapat persetujuan dua pertiga, sekiranya tidak mendapat persetujuan majoriti maka ia tidak boleh diluluskan.

“Ia cukup jelas seperti tertera dalam perlembagaan yang memerlukan dua pertiga majoriti untuk meluluskan persempadanan semula sesuatu kawasan bagi meningkatkan jumlah kerusi sama ada DUN atau kawasan Parlimen,” katanya kepada pemberita kelmarin di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Adun Pantai Manis Papar, Datuk Rahim Ismail di sini kelmarin.

Shafie yang juga Naib Presiden Umno berkata, beliau sedar sesetengah negeri seperti Johor mempunyai jumlah pengundi yang ramai sehingga 120,000 dalam satu kawasan parlimen. Jumlah ini agak besar berbanding dengan jumlah pengundi di satu kawasan di Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, sesetengah kawasan contohnya Parlimen Rejang yang mana kawsannya adalah sebesar negeri Pahang, merupakan kawasan Parlimen terbesar di negara ini dan ia mungkin memberi masalah kepada seorang ahli parlimen untuk mengurus kawasan sebesar itu.

Tambahnya, ia memang ada keperluan untuk persempadanan semula bukan sahaja di Sabah tetapi juga di negeri Sarawak serta negeri di Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk VK Liew berkata jelas kelihatan bahawa terdapat beberapa kawasan parlimen yang luas contohnya di Kinabatangan.

Katanya, Parlimen Kinabatangan sangat luas dan hanya terdapat satu ahli parlimen sahaja, dan keadaan ini sememangnya tidak cukup jika hanya ada seorang sahaja yang bertugas menjaga kawasan yang seluas itu.

“Persempandan semula boleh dilakukan tetapi ia tertakluk kepada perlembagaan, yang penting sekali jika ingin menambahkan semula kerusi di Sabah, saya rasa kita perlu lihat dari segi memperkasakan kerajaan yang memastikan kita dapat perkongsian kerusi yang sama rata,” jelasnya.

Manakala Adun Pantai Manis, Datuk Rahim Ismail, berkata Parlimen Papar mempunyai lebih kurang 36,000 pengundi dan beliau menghormati pendapat yang dikemukakan oleh Timbalan Speker DUN, Datuk Johnny Mositun.

“Ini hak dia bersuara tapi yang sebaik-baiknya kita harus mempunyai hubungan yang rapat di antara komponen Barisan Nasional bagi menyuarakan perkara ini dan bukannya masing-masing menyuarakan seperti ingin menjadi ‘hero’…kita mesti ada kata sepakat. Di sini kita mempunyai Upko, PBRS, PBS dan Umno, kita boleh duduk berbincang secara baik,” katanya.