Thursday, September 19

Tiga sekeluarga rugi RM21,000 dirompak kumpulan ‘samurai’

0

RANAU: Tiga sekeluarga bukan sahaja kehilangan wang dan barang kemas bernilai lebih RM21,000 malah nyaris ditetak seorang perompak apabila rumah mereka dipecah masuk sekumpulan lelaki bersenjatakan pedang samurai di Kampung Kinasaraban Kundasang, di sini baru-baru ini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 2 pagi, ketika semua ahli keluarga seramai 10 orang sedang nyenyak tidur dan tidak sedar rumah mereka dipecah masuk sehingga salah seorang mengejutkan mereka.

Difahamkan, salah seorang perompak itu bersenjatakan pedang samurai bertindak mengacukan samurai kepada beberapa ahli keluarga berkenaan supaya tidak berbuat bising jika ingin nyawa mereka semua selamat.

Suspek kemudian membawa semua mangsa ke sebuah bilik dan mengugut ahli keluarga yang lain dengan parang sebelum melarikan barang berharga milik keluarga itu.

Antara barang berharga yang dilarikan suspek termasuk wang tunai dan barang kemas yang semuanya bernilai hampir RM21,000. Bagaimanapun, tiada mangsa yang cedera.

Sebaik sahaja semua suspek melarikan diri, mereka kemudian membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau.

Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Abdul Rahman Kassim, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan polis sedang giat memburu semua suspek berkenaan dan akan melakukan tangkapan dalam masa terdekat ini.

Menurutnya, hasil daripada siasatan, terdapat tiga suspek dan semua lelaki memasuki rumah mangsa melalui pintu belakang dengan cara mengumpil pintu dapur rumah berkenaan.

“Sebaik sahaja berjaya masuk ke dalam rumah mangsa salah seorang suspek kemudian mengejutkan semua ahli keluarga dengan mengacukan pedang samurai.

“Selepas itu, tiga suspek kemudian melarikan beberapa barang berharga milik semua mangsa yang dianggarkan bernilai RM21,000,” katanya.

Beliau berkata, polis kini sedang berusaha mengesan penyamun terbabit dan tidak menolak mereka masih berada di sekitar daerah Ranau.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan kami meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya berhubung dengan balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai di daerah ini supaya menyalakan lampu di rumah mereka bagi mengelak daripada dipecah masuk oleh perompak.

“Dengan cara menyalakan lampu di rumah, kemungkinan perompak akan menyedari ia berpenghuni, secara tidak langsung mengelak rumah berkenaan diceroboh.

“Sempena perayaan Aidilfitri tahun ini, saya menasihatkan semua pemandu kereta di daerah ini supaya memandu kenderaan dalam keadaan baik bagi mengelak kejadian tidak diingin berlaku,” katanya.