Tuesday, September 17
September 16

Abu Bekir sedia bertanding di Parlimen Mukah

0

MUKAH: Tokoh korporat terkemuka Dato Sri Mahmud Abu Bekir Abdul Taib menyatakan kesediaan beliau untuk dicalonkan di Parlimen Mukah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi Kumpulan Cahya Mata Sarawak (CMS) itu menyerahkan kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) Pusat dan Negeri untuk membuat keputusan.

“Selain membesar dalam suasana politik, saya memang meminati serta mengikuti perkembangan politik negara sejak dahulu.

“Saya menjadi ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kuching ketika berusia 19 tahun. Sejak itu minat terhadap politik kian berkembang,” ujarnya.

Justeru, Mahmud Abu Bekir tidak menolak untuk dicalonkan di Parlimen Mukah andai itu yang diminta oleh penduduk di sini.

“Jika itu permintaan majoriti, saya bersedia. Selama ini pun saya berkhidmat di sini secara tidak langsung menerusi projek-projek pembangunan seliaan CMS.

“Apatah lagi daerah ini merupakan tempat asal keluarga saya. Saya bersedia untuk dicalonkan sama ada di Parlimen Mukah atau di mana sahaja,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa diminta Utusan Borneo mengulas ucapan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dalam Majlis Ramah-tamah Aidilfitri di The Grand, Kingwood Resorts, di sini semalam.

Abdul Taib memberitahu bahawa beliau membawa Mahmud Abu Bekir ke majlis-majlis rasmi di sini untuk memberi pendedahan kepada anak keduanya itu tentang senario mutakhir politik tempatan.

Pada masa sama, beliau mahu Mahmud Abu Bekir menabur khidmat kepada bumi kelahiran moyangnya (Mukah) menerusi politik.

Sementara itu, Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan gembira dengan kesediaan Mahmud Abu Bekir untuk berkecimpung secara langsung dalam politik.

“Latar belakang keluarga, pendidikan, pengalaman serta pergaulan beliau (Mahmud Abu Bekir) yang luas merupakan kelebihan besar kepada BN.

“Tanpa penafian, beliau berpotensi besar untuk dicalonkan sama ada di sini atau kawasan lain dalam PRU akan datang,” tambah Naib Presiden Kanan PBB itu.